Accessibility Tools

Skip to main content

339 pelajar SMU, SPM, STAM di Pengkalan Kubor terima kit peperiksaan

  • 12 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 27

TUMPAT, 12 Oktober – Sebanyak 339 pelajar di dua sekolah di DUN Pengkalan Kubor menerima kit peperiksaan berupa alat tulis bagi membantu persediaan mereka menghadapi peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, sumbangan itu diharap dapat memberikan semangat kepada pelajar untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan agihan kit peperiksaan kepada 267 pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Meheliah, Geting, semalam.

“Semoga sumbangan ini dapat memberi semangat dan membantu para pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.

Sehari sebelumnya, Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor turut mengagihkan kit peperiksaan kepada 72 pelajar SMU dan STAM di Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang.

Program berkenaan turut disertai kakitangan Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor, barisan penghulu serta beliawanis DUN Pengkalan Kubor.

Dato’ Wan Roslan turut mendoakan agar segala urusan calon dipermudahkan dan mereka memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan masing-masing.

“Moga Allah SWT permudahkan segala urusan dan mengurniakan kejayaan yang cemerlang kepada semua calon,” ujarnya.

Beliau turut berharap semua calon terus berusaha, berdoa dan bertawakal dalam menghadapi peperiksaan demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Pautan berjaya disalin!