5,017 calon duduki peperiksaan SMU tahun ini termasuk 88 di Kemboja
-
12 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
-
26
KOTA DARULNAIM, 12 Oktober - Sebanyak 5,017 calon menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) tahun ini yang bermula hari ini, termasuk 88 calon di Kemboja yang membabitkan enam sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, berkata pusat peperiksaan bagi calon di Kemboja itu ditempatkan di Sekolah An-Nikmah Al-Islamiyah Phnom Penh.
Beliau turut mendoakan supaya semua calon diberikan ketenangan hati dan kelapangan fikiran serta dipermudahkan urusan ketika menjawab peperiksaan.
"Selamat menduduki peperiksaan SMU, semoga Allah SWT mengurniakan ketenangan hati dan kelapangan fikiran kepada semua calon serta mempermudah urusan mereka menjawab peperiksaan.
"Terima kasih kepada para guru, pegawai YIK dan seluruh petugas yang menjayakan peperiksaan ini.
"Semoga usaha bersama ini terus memperkukuh pendidikan agama dan melahirkan generasi berilmu serta berakhlak mulia," katanya di media sosial, hari ini.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengucapkan selamat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada semua calon, khususnya pelajar sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Beliau menasihatkan calon supaya menghadapi peperiksaan dengan tenang dan yakin, selain memanfaatkan masa dengan baik serta menjaga kesihatan.
Katanya, setiap usaha juga perlu disertai doa dan tawakal kepada Allah SWT.
Tambahnya, ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk menjawab peperiksaan, sebaliknya menjadi bekalan dalam membentuk diri yang beradab dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada guru dan ibu bapa yang sentiasa membimbing serta mendoakan kejayaan anak-anak.
Beliau berharap semua calon SMU dan STAM 2026 dipermudahkan segala urusan, diberikan kelapangan fikiran serta memperoleh kejayaan yang diberkati di dunia dan akhirat.
"Selamat maju jaya kepada semua calon SMU dan STAM 2026,"ujarnya.







