33 sungai tercemar disasar capai peningkatan kualiti air 10 peratus dalam setahun
-
13 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
-
30
KOTA DARULNAIM, 13 Oktober — Kerajaan Persekutuan menetapkan sasaran meningkatkan Indeks Kualiti Air (IKA) sekurang-kurangnya 10 peratus dalam tempoh setahun bagi 33 sungai yang dikenal pasti tercemar di seluruh negara pada 2025.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKKAS) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II YAB Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen Malaysia, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri yang berjaya mencapai sasaran berkenaan akan diberikan pengiktirafan sebagai galakan mempertingkat keberkesanan usaha pemulihan sungai.
Menurutnya, sasaran itu ditetapkan susulan peningkatan jumlah sungai tercemar yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), daripada 25 sungai pada 2023 kepada 27 sungai pada 2024 sebelum meningkat kepada 33 sungai pada 2025.
"Pencemaran sungai bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya turut membabitkan keselamatan air negara. Apabila sungai tercemar, ia boleh mengganggu operasi loji rawatan air, menjejaskan bekalan air kepada rakyat, meningkatkan kos rawatan serta memberi kesan kepada aktiviti ekonomi," katanya menerusi media sosial, semalam.
Beliau memaklumkan, berdasarkan laporan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), sebanyak 144 kes pencemaran sumber air dikesan di Selangor dalam tempoh tiga tahun sehingga 14 September 2026 dengan tahap risiko berbeza.
Di Kelantan pula, dua sungai masih dikategorikan tercemar pada tahap tiga, iaitu Sungai Alor B dan Sungai Alor Lintah.
JAS Kelantan diminta mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi mengenal pasti kaedah pemulihan yang bersesuaian.
"Justeru, saya telah meminta JAS Negeri Kelantan berbincang dengan JPS serta MPKB-BRI mengenai kaedah bersesuaian untuk memulihkan alur dan anak sungai ini supaya tidak lagi tercemar," jelasnya.
Mengulas lanjut, YB Hilmi berkata, mesyuarat JKKKAS turut memutuskan pelaksanaan kajian rintis pengurusan punca pencemaran tidak tetap (Non-Point Source, NPS) secara bersepadu di satu kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih.
Menurutnya, kajian itu bertujuan menguji kebolehgunaan data lapangan, menganggarkan beban pencemaran, mengenal pasti kawasan keutamaan serta merangka langkah kawalan yang lebih berkesan.
Selain itu, Jawatankuasa Teknikal Piawaian Pelepasan Efluen yang dipengerusikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut ditubuhkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
Jawatankuasa berkenaan berperanan menyelaraskan pelaksanaan piawaian pelepasan efluen di kawasan bandar dan luar bandar bagi meningkatkan keberkesanan kawalan pencemaran sumber air.
Mesyuarat itu turut menyaksikan pelancaran Garis Panduan Pemasangan Panel Solar Terapung di Atas Takungan Air dan Tasik di Malaysia sebagai rujukan kepada pembangunan tenaga boleh baharu yang mengambil kira aspek pemeliharaan sumber air.
"Langkah bersepadu ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengawal pencemaran dari puncanya, melindungi sumber air dan menjamin keselamatan air negara melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PBT serta semua pihak berkepentingan," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa perlindungan sungai perlu menjadi tanggungjawab bersama kerana kemerosotan kualiti air bukan sahaja menjejaskan ekosistem, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan awam, bekalan air dan kelangsungan aktiviti ekonomi.










