Jambatan Bailey RM364,000 dipasang segera di laluan Gua Musang-Kota Bharu
-
13 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
38
GUA MUSANG, 13 Oktober – Jambatan Bailey bernilai RM364,000 sedang dipasang segera di laluan FT08 Jalan Gua Musang-Kota Bharu bagi memulihkan perhubungan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya susulan insiden runtuhan jalan pada 10 Oktober.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata, hasil pemeriksaan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati runtuhan tersebut berpunca daripada kerosakan pembetung lama.
Menurutnya, pihak JKR mengambil langkah awal dengan menutup laluan berisiko demi keselamatan pengguna, selain menyediakan laluan alternatif melalui FT2747 Jalan Pulai–Bandar Baru Gua Musang untuk semua kenderaan, termasuk kenderaan berat.
“Bagi memulihkan laluan utama ini, JKR Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM364,000 untuk membina Jambatan Bailey yang mempunyai spesifikasi lebih lebar serta panjang kira-kira 42 meter,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja meninjau tapak runtuhan di sini, semalam.
Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan jambatan sementara itu dijangka mengambil masa maksimum sekitar dua minggu sebelum laluan berkenaan dapat dipulihkan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan dan bersabar sepanjang tempoh pemasangan jambatan sementara serta kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Lawatan kerja tersebut turut dihadiri Ketua Jajahan Gua Musang Dato’ Roshdi Ismail.












