Kelulusan kontraktor baharu LTU pakej 3B dan 3C diharap disegerakan - YB Dato’ Izani
-
13 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
40
GUA MUSANG, 13 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan berharap kelulusan pelantikan kontraktor baharu bagi projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C dapat disegerakan bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan dapat diteruskan tanpa kelewatan berpanjangan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata, laluan FT08 yang terjejas akibat runtuhan pembetung baru-baru ini merupakan sebahagian daripada komponen utama projek LTU di bawah seliaan Unit Projek Khas Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan.
Menurutnya, projek berkenaan sebelum ini mengalami beberapa siri kelewatan akibat masalah pelaksanaan oleh kontraktor lama sehingga membawa kepada penamatan kontrak mereka.
“Saya dimaklumkan bahawa pihak JKR telah pun menyelesaikan seluruh proses penilaian bagi melantik kontraktor baharu dan kini dokumen berkenaan hanya menunggu kelulusan rasmi daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF) serta YAB Menteri Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media semasa lawatan kerja meninjau tapak runtuhan jalan di laluan Gua Musang-Kota Bharu, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, kelulusan segera amat diperlukan bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan semula dan penyiapan LTU Pakej 3B dan 3C diteruskan demi kemudahan serta kesejahteraan rakyat Kelantan.
“Kita amat berharap kelulusan ini dapat diberikan dengan segera agar kerja-kerja pembinaan semula dan penyiapan laluan LTU Pakej 3B dan 3C ini tidak terhalang,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada JKR Persekutuan, Unit Projek Khas, JKR Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang serta semua agensi teknikal dan keselamatan atas kerjasama dalam menangani isu berkenaan.












