Accessibility Tools

Skip to main content

MAIK sumbang RM30,000 ganti karpet Masjid Al-Aziz Al-Hadi

  • 13 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 26

KOTA BHARU, 13 Oktober – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyumbangkan RM30,000 bagi menggantikan karpet baharu Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Mukim Kota Warisan, Tumpat susulan insiden masjid berkenaan disimbah air najis minggu lalu.

Sumbangan itu bertujuan memastikan keselesaan jemaah untuk menunaikan ibadat selepas karpet asal yang telah dibersihkan masih meninggalkan bau kurang menyenangkan.

Menurut kenyataan MAIK, pihak masjid dengan bantuan syarikat pembersihan mengambil masa tiga hari berturut-turut untuk membersihkan kesan najis berkenaan.

"Pihak masjid dengan bantuan syarikat pembersihan telah membersihkan kesan najis berkenaan mengikut hukum syarak selama tiga hari berturut turut. Namun masih meninggalkan bau yang tidak menyenangkan” katanya di laman rasmi, semalam. 

Sehubungan itu, MAIK menyalurkan sumbangan bagi membolehkan karpet baharu dipasang bagi menggantikan karpet asal yang terjejas akibat insiden berkenaan.

“Sebagai tanda kecaknaan pihak MAIK dalam perkara ini, kami telah memberikan sumbangan sebanyak RM30,000 bagi menggantikan karpet baharu,” ujarnya.

Karpet baharu bertemakan hijau Raudah itu telah siap dipasang bagi memberikan keselesaan kepada jemaah ketika beribadat.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato’ Mohd Anis Hussein turut meninjau proses pemasangan karpet baharu itu dan menyerahkan sumbangan kepada Imam Tua Masjid Al-Aziz Al-Hadi Ustaz Zaidi Muji, semalam.

Selain sumbangan MAIK, orang ramai turut menghulurkan sumbangan sejak insiden itu tular di media sosial, yang turut digunakan bagi menampung kos penggantian karpet baharu.

Pautan berjaya disalin!