Accessibility Tools

Skip to main content

Kesihatan wanita penting demi generasi akan datang – Dato’ Rohani

  • 13 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 23

KOTA DARULNAIM, 13 Oktober - Kesihatan wanita perlu diberi perhatian kerana bukan sahaja berkaitan penjagaan diri, malah turut mempengaruhi kesejahteraan keluarga dan generasi akan datang.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, kesedaran mengenai kesihatan wanita perlu terus diperkasa bagi memastikan golongan itu lebih cakna terhadap kesihatan fizikal, mental dan emosi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Kesihatan Wanita Peringkat Negeri Kelantan 2026 di KB Mall, Kota Bharu, semalam.

Program berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dr. Kasuadi Hussin.

Menurut Dato’ Rohani, wanita perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan awal bagi memastikan aspek kesihatan diri sentiasa diberi perhatian.

“Kesedaran tentang kesihatan wanita perlu terus diperkasa agar setiap wanita lebih cakna terhadap kesihatan fizikal, mental dan emosi, di samping mendapatkan pemeriksaan serta rawatan awal apabila diperlukan,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran dan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti penting bagi membantu melahirkan wanita yang lebih sihat, sejahtera dan berdaya dalam menjalani kehidupan.

“Insya Allah, usaha memperkukuh kesedaran dan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti akan membantu melahirkan wanita yang lebih sihat, sejahtera dan berdaya dalam menjalani kehidupan,” ujarnya.

Beliau turut berharap segala usaha meningkatkan kesedaran kesihatan wanita di Kelantan mendapat keberkatan dan membawa kebaikan kepada seluruh golongan wanita di negeri ini.

Pautan berjaya disalin!