Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan-RETI bincang tawaran kursus bidang maritim

  • 13 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
  • 24

KOTA DARULNAIM, 13 Oktober - Kerajaan Negeri Kelantan dan RANACO Education & Training Institute (RETI) berkongsi maklumat mengenai penawaran pelbagai kursus pendidikan dan latihan kemahiran, khususnya dalam bidang maritim yang berpotensi menyediakan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri.

Perkara itu dibincangkan ketika Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat menerima kunjungan hormat daripada barisan pengurusan RETI yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya (COO), Capt. Saad Din, pada Isnin.

Dato' Wan Roslan berkata, pertemuan itu turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama bagi memperluas peluang pendidikan serta latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya kepada anak Kelantan yang berminat membina kerjaya dalam sektor maritim.

"Semoga pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang bermanfaat dalam usaha memperkasakan pendidikan kemahiran dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam kalangan anak-anak Kelantan," katanya menerusi media sosial, pada Isnin.

Untuk rekod, RETI ialah institusi pengajian tinggi swasta yang ditubuhkan pada 2004 di Chukai, Kemaman, Terengganu, oleh Ranaco Marine Sdn Bhd.

Institusi itu menawarkan sembilan program diploma merangkumi bidang maritim, kejuruteraan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta hospitaliti.

Bagi bidang maritim, program yang ditawarkan ialah Diploma Pengajian Nautika, Diploma Pengurusan Maritim, Diploma Pemeriksaan Kargo Marin serta Diploma Logistik dan Rantaian Bekalan.
Dalam bidang kejuruteraan pulau, RETI menawarkan Diploma Kejuruteraan Marin dan Diploma Kejuruteraan Luar Pesisir.

Turut ditawarkan, Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Diploma Sistem Pengurusan Bersepadu serta Diploma Seni Kulinari.

Program diploma berkenaan menggabungkan latihan teori dengan sijil industri tambahan yang ditawarkan secara percuma.

RETI mendapat pengiktirafan dan pentauliahan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MyQuest serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Pautan berjaya disalin!