31 peserta didedahkan teknologi makanan retort
-
13 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Tuan Saripudin
-
25
KOTA DARULNAIM, 13 Oktober - Sebanyak 31 peserta didedahkan kepada teknologi pemprosesan makanan retort menerusi Bengkel Agromakanan Siri 2: Teknologi Makanan Retort anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, semalam.
Bengkel itu dianjurkan menerusi Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Chef Ustazah HQ yang dikendalikan Chef Ustazah Wan Habsah.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, teknologi retort menggunakan kaedah rawatan haba terkawal yang berpotensi memanjangkan jangka hayat makanan tanpa memerlukan penyimpanan sejuk, tertakluk kepada pemprosesan yang betul dan pengesahan keselamatan produk.
Katanya, teknologi berkenaan membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mengkomersialkan makanan tradisional Kelantan seperti rendang, gulai dan kari bagi menembusi pasaran lebih luas.
"Saya berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh para peserta untuk menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh industri pemprosesan makanan serta sektor agromakanan negeri Kelantan," katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Agromakanan Siri 2: Teknologi Makanan Retort yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Chef Ustazah HQ.
Chef Ustazah Wan Habsah menerangkan, teknologi retort merupakan kaedah pemprosesan dan pengawetan makanan menggunakan haba pada suhu serta tekanan terkawal bagi membunuh mikroorganisma berbahaya, sekali gus memanjangkan jangka hayat makanan tanpa bergantung pada bahan pengawet tertentu.












