Accessibility Tools

Skip to main content

SEMTECDOA 2026 perkukuh budaya inovasi pegawai teknikal pertanian Kelantan

  • 13 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 64

Foto: FB YB Dato' Tuan Mohd Saripudin

KOTA BHARU, 13 Oktober - Seminar Teknikal Jabatan Pertanian (SEMTECDOA) 2026 memainkan peranan penting dalam memastikan keupayaan pegawai teknikal Jabatan Pertanian sentiasa relevan dengan perkembangan dan keperluan semasa sektor pertanian.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata seminar berkenaan turut menjadi platform untuk menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan warga jabatan menerusi penambahbaikan kaedah kerja, penyelesaian masalah di lapangan dan penggunaan sumber secara lebih cekap.

"Inovasi yang terbukti berkesan hendaklah didokumentasikan dan diperluas agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai pengusaha."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SEMTECDOA 2026 anjuran Jabatan Pertanian Negeri Kelantan di Institut Latihan FAMA Kota Bharu (ILFKB), di sini, hari ini.

Seminar selama tiga hari bermula hari ini itu menghimpunkan 38 pembentang yang akan berkongsi inovasi masing-masing berkaitan pelaksanaan tugas dan bidang kepakaran dalam sektor pertanian.

Peserta seminar terdiri daripada pegawai teknikal daripada pelbagai latar belakang tugas, termasuk Agen Pengembangan Tanaman (APT) yang bertugas di jajahan, pegawai meja (Desk Officer) di jajahan serta pegawai meja di bahagian dan unit ibu pejabat negeri.

Dato' Tuan Mohd Saripudin berharap seminar berkenaan tidak berakhir sekadar dengan pembentangan, sebaliknya setiap dapatan yang bermanfaat perlu diterjemahkan kepada tindakan susulan dan penambahbaikan sebenar dalam perkhidmatan serta pengeluaran pertanian.

"Kita harap SEMTECDOA 2026 menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kerja yang lebih berilmu, inovatif dan berorientasikan hasil.

"Usaha memperkukuh kepakaran dan mutu perkhidmatan perlu diteruskan bagi memastikan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan kekal diyakini serta terus menyumbang kepada kemajuan sektor pertanian negeri," ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) Murniwati Mohd, Timbalan Pengarah Pertanian (Operasi) Nor Hazlini Ab Manan dan Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) Ahmad Rasimi Ismail.

Pautan berjaya disalin!