PKB cipta sejarah negara, terima penarafan emas kerangka kewangan sosial
-
13 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
39
KOTA BHARU, 13 Oktober - Permodalan Kelantan Berhad (PKB) mencipta sejarah peringkat negara apabila menjadi agensi kerajaan negeri pertama di Malaysia menerbitkan Sukuk Sosial bernilai RM35 juta, sekali gus memperoleh Penarafan Emas bagi Kerangka Kewangan Sosial daripada MARC Solutions Sdn. Bhd.
Pengiktirafan itu merupakan pencapaian penting PKB dalam pasaran modal Islam negara, khususnya bagi memperluas akses pembiayaan patuh syariah serta menyokong pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Dato’ Sr Zamri Ismail berkata, penerbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI Sukuk) tersebut mencerminkan komitmen PKB mengintegrasikan prinsip kelestarian, tadbir urus dan tanggungjawab sosial dalam strategi pembiayaan korporat.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi PKB YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ (Dr.) Ahmad Yakob, merasmikan Majlis Apresiasi SRI Sukuk PKB sempena Penarafan Emas Kerangka Kewangan Sosial dan Terbitan SRI Sukuk RM35 Juta di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menurut Dato’ Zamri, penerbitan RM35 juta itu merupakan kesinambungan Program Sukuk Wakalah PKB bernilai RM300 juta selepas penerbitan pertama sebanyak RM265 juta pada 27 November 2025.
"Penerbitan RM35 juta ini merupakan Sukuk Sosial pertama di Malaysia oleh sebuah agensi kerajaan negeri dan Sukuk Sosial pertama di Kelantan.
"Pencapaian ini menjadi satu lagi langkah penting bagi PKB dalam memperkukuh sumber pembiayaan serta menyokong pembangunan sosioekonomi negeri Kelantan khususnya dan Malaysia amnya," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Penarafan Emas yang diberikan MARC Solutions menerusi penilaian bebas terhadap Kerangka Kewangan Sosial PKB turut membawa tanggungjawab untuk memastikan pembiayaan dilaksanakan secara telus, teratur dan berakauntabiliti.
“Sebagai anak syarikat milik penuh PKINK, PKB berperanan memastikan pertumbuhan perniagaan bukan sahaja meningkatkan prestasi korporat, malah memberikan manfaat langsung kepada masyarakat.
“Pembiayaan melalui penerbitan sukuk berkenaan akan dimanfaatkan bagi memperkukuh operasi Ar-Rahn, meningkatkan kapasiti pembiayaan serta memperluas rangkaian perkhidmatan melalui pembukaan cawangan baharu di kawasan berpotensi,” jelasnya.
Beliau optimis, langkah tersebut dijangka meningkatkan keupayaan PKB menjana pendapatan, menyumbang kepada prestasi Kumpulan PKINK serta memperluas akses pembiayaan Islam yang inklusif, khususnya kepada usahawan mikro dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
Tambanhnya, sejak diperkenalkan pada 1992, Ar-Rahn telah berkembang kepada 35 cawangan di sembilan negeri, sekali gus membuktikan keupayaan institusi itu menyediakan kemudahan kewangan berasaskan prinsip syariah kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Maybank Investment Bank Berhad yang memainkan peranan sebagai Penasihat Utama, Pengatur Utama, Pengurus Utama, Penasihat Penstrukturan Kelestarian Tunggal serta Ejen Kemudahan bagi penerbitan sukuk berkenaan.
Di samping itu, penghargaan turut diberikan kepada Maybank Islamic Berhad selaku Penasihat Syariah dan Pelanggan Tunggal serta MARC Solutions atas penilaian bebas yang membawa kepada penganugerahan Penarafan Emas.
Beliau juga mengiktiraf sumbangan firma guaman Kadir, Andri & Partners (KAAP) dan Messrs. Azlina Madzlan Sazira Shahirah (AMASS), selain Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan seluruh warga PKB serta PKINK yang menjayakan penerbitan berkenaan.
"Penerbitan SRI Sukuk ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan PKB yang mampan di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kelantan serta masyarakat di kawasan operasi Ar-Rahn," ujarnya.














