Warga emas perlu ikhlas dihargai, disayangi - Dato' Rohani
-
14 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Rohani
-
26
KOTA DARULNAIM, 14 Oktober - Warga emas ialah golongan yang perlu disantuni dan wajar dihargai, dikasihi dan dijaga dengan penuh kesabaran serta keikhlasan.
Demikian kata Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Rohani Ibrahim selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Pusat Jagaan Aira sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026.
"Warga emas juga mempunyai perasaan, kerinduan dan keperluan untuk dihargai, justeru mereka perlu dijaga dengan penuh kasih sayang sebagaimana menyayangi dan menjaga ibu bapa sendiri," jelasnya menerusi media sosial, pada Selasa.
Lawatan ke pusat jagaan warga emas itu turut disertai Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Zin dan Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Ilvira Mohd Dasuki.
Sepanjang lawatan berkenaan, beliau bersama rombongan turut menyantuni penghuni pusat jagaan itu dengan berkongsi senyuman dan bertanya khabar mereka.
Dalam pada itu, Dato' Rohani turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Encik Sanusi bersama isteri serta seluruh warga kerja Pusat Jagaan Aira atas komitmen dan pengorbanan dalam menjaga kebajikan penghuni.
“Bukan semua orang mampu memikul amanah ini kerana ia menuntut kesabaran, kasih sayang dan hati yang tulus. Sesungguhnya, anda semua insan terpilih,” katanya.
Beliau turut berpesan supaya mereka yang terlibat dalam bidang penjagaan menjadikan pekerjaan itu sebagai pengalaman dan ruang untuk terus menimba ilmu pada masa hadapan.
Dato' Rohani berharap segala usaha dan pengorbanan dalam menjaga kebajikan warga emas menjadi amal soleh yang diberkati Allah SWT serta dikurniakan ganjaran berlipat ganda di dunia dan akhirat.












