Accessibility Tools

Skip to main content

Kerjasama pembangunan belia dan sukan Kelantan perlu terus diperkukuh – YB Dato’ Wan Roslan

  • 14 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 26

KOTA DARULNAIM, 14 Oktober – Kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBS) perlu terus diperkukuh bagi memperkasakan pembangunan belia serta membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, hubungan kerjasama yang telah terjalin sebelum ini menjadi asas penting dalam meneruskan usaha pembangunan belia dan sukan di negeri itu.

Beliau berkata demikian dalam media sosialnya selepas menerima kunjungan hormat JBS Kelantan yang diketuai Timbalan Pengarah (Sukan) Hazri Nizam Zakaria bersama dua pegawai jabatan berkenaan Sazli Mahmood dan Wan Mohd Erffan Wan Nasir serta beberapa kakitangan JBS, semalam.

Menurutnya, pertemuan itu menjadi ruang untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman berkaitan pembangunan belia serta sukan di Kelantan, termasuk mengimbau kerjasama yang pernah dilaksanakan ketika beliau diberikan amanah sebagai Exco Belia dan Sukan negeri sebelum ini.

“Banyak usaha dan program telah dilaksanakan bersama dalam memperkasakan pembangunan belia serta menggalakkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, pembangunan belia dan sukan mampu melahirkan masyarakat yang sihat dan berperanan membentuk generasi berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang kukuh.

Pautan berjaya disalin!