Accessibility Tools

Skip to main content

2,573 calon SMU kelolaan YIK di Kemboja sejak 2021

  • 11 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
  • 31

KOTA DARULNAIM, 11 Oktober - Sebanyak 2,573 calon direkodkan menduduki Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) kelolaan Yayasan Islam Islam Kelantan (YIK) di Kemboja sejak pelaksanaannya pada 2021, sekali gus memperlihatkan usaha berterusan memperkukuh pendidikan Islam di negara itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha memperkasakan pendidikan Islam di Kemboja turut digerakkan menerusi enam sekolah di bawah Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja (MAPIK).

Enam sekolah berkenaan ialah Maahad Muhammadi Beung Broul, Maahad An-Nikmah Al-Islamiyah Phnom Penh, Maahad An-Nikmah Al-Islamiyah Chumnik, Madrasah An-Nikmah Al-Islamiyah Rakapopram, Madrasah An-Nikmah Al-Islamiyah Potein dan Madrasah Imam Safie Kampung Kes.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat

"Perkembangan itu mencerminkan kesungguhan masyarakat Islam Kemboja memastikan pendidikan agama terus berkembang, khususnya melalui peranan MAPIK dalam pembangunan pendidikan dan kebajikan umat Islam," katanya di media sosial, pada Sabtu.

Katanya lagi, hubungan pendidikan antara Kelantan dan Kemboja juga mempunyai nilai bermakna dalam usaha melahirkan generasi berilmu serta memperluas manfaat pendidikan Islam merentasi sempadan negara.

"Saya berharap hubungan baik antara Kelantan dan masyarakat Islam Kemboja terus diperkukuh, khususnya dalam bidang pendidikan, dakwah dan pembangunan ummah," katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Menengah Ugama (SMU) bagi tahun 2025 di Kemboja bersama Pengarah YIK Dato’ Shamsul Abu Bakar.

Majlis itu dirasmikan Mufti Kemboja merangkap Pengerusi MAPIK, Sahibus Samahah Neak Oknha Kamaruddin Yusof.

Dalam majlis sama, Dato' Wan Roslan turut menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang kepada seorang guru di Kemboja sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmennya dalam bidang pendidikan.

Beliau berharap penghargaan itu dapat menyuntik semangat kepada golongan pendidik untuk terus berbakti dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan berjumlah RM5,000 sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan pendidikan Islam di Kemboja.

Pautan berjaya disalin!