Palufest perkukuh perpaduan, pelihara warisan pelbagai kaum
-
11 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: FB YB Datuk Kamarudin Md Nor
-
34
KOTA BHARU, 11 Oktober - Penganjuran Palufest, Festival Gendang Antarabangsa Kelantan 2026 mampu memperkukuh hubungan antara kaum serta memelihara warisan kebudayaan pelbagai etnik di negeri ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor berkata kepelbagaian alat muzik tradisional, khususnya gendang dan alat paluan, mencerminkan keunikan budaya masyarakat berbilang kaum di Kelantan.
Katanya, festival tersebut menampilkan pelbagai jenis gendang dan alat paluan sebagai usaha mempopularkan peralatan muzik tradisional yang masih mendapat tempat dalam kalangan rakyat Kelantan dan masyarakat di seluruh negara.
“Festival yang menampilkan pelbagai alat muzik seperti gendang dan lain-lain alat paluan menjadi kesukaan masyarakat pelbagai kaum telah berjaya menarik penyertaan masyarakat selain Melayu termasuk masyarakat India, Cina dan Siam di Kelantan, selain peserta dari negara luar seperti Indonesia dan Thailand.
“Kepelbagaian bunyi-bunyian daripada pelbagai alat paluan dan kebudayaan masyarakat ini jika digabungkan serta diolah dengan baik, mampu menghasilkan simfoni yang lunak dan sedap didengari."
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan merasmikan Palufest, Festival Gendang Antarabangsa Kelantan 2026 di tapak parkir AEON Mall, di sini, pada Jumaat.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamaruddin Md Nor
Antara paluan yang dipersembahkan ialah persembahan paluan gendang Cina, rebana ubi, kertok, gendang silat, gamelan, gendang India, gedombak Siam dan persembahan dari kumpulan gendang dari Bukit Tinggi Sumatera Barat, Indonesia.
Kata Datuk Kamaruddin lagi, kepelbagaian budaya itu perlu terus dipelihara supaya setiap kumpulan etnik dapat mengekalkan identiti, cara hidup serta amalan tradisi masing-masing.
Menurutnya, Kelantan mengamalkan dasar hidup bersama secara aman damai bagi memastikan kebudayaan masyarakat minoriti tidak ditenggelamkan oleh budaya kelompok majoriti.
Jelasnya, walaupun masyarakat Melayu membentuk kira-kira 95 peratus daripada penduduk Kelantan, masyarakat keturunan Tionghoa, Siam dan India masih mengekalkan identiti serta kebudayaan masing-masing.
“Nama pun sama kekal, cara hidup pun kekal, budaya pun kekal dengan sejarah dan amalan tradisi masing-masing.
“Alhamdulillah, kita telah mengamalkan dasar ini sejak dahulu dan ternyata pendekatan hidup bersama secara aman damai lebih praktikal serta menjamin hubungan yang baik antara kaum di Kelantan,” katanya.
Beliau turut mengajak masyarakat supaya terus mengamalkan prinsip berkenaan, di samping memperkukuh hubungan antara kaum serta menghormati kebudayaan dan kesenian setiap komuniti.
Tambahnya, kebudayaan dan cara hidup yang kaya dengan seni serta diwarisi turun-temurun menjadi antara kayu ukur kematangan sesebuah tamadun.
Beliau menegaskan, Kelantan bertuah kerana mempunyai masyarakat yang sentiasa menjaga hubungan baik antara kaum, sekali gus menyumbang kepada keamanan negeri.
Hadir sama, wakil Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Mohamad Rizal Mohamad Hamdan, Ketua Polis Kelantan, YDH CP Dato' Mohd Yusoff Mamat, Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zamri Mat Nawang, Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Bahari Mohamad, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kelantan Nor Aliza Baharuddin dan Pengarah Tourism Kelantan Azwan Ab Rahman.
















