Accessibility Tools

Skip to main content

Warga Armalah: Kelantan muliakan ibu tunggal, pelihara maruah wanita

  • 11 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 24

KOTA BHARU, 10 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkasakan kebajikan golongan wanita menerusi pendekatan ‘Warga Armalah’ bagi memuliakan kedudukan ibu tunggal, memelihara maruah serta membentuk sahsiah yang baik berteraskan nilai Islam.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim ketika berucap mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud dan Kerajaan Negeri Kelantan sempena meraikan Lawatan Mahabbah Jemaah Masjid Kariah Bagan Pinang ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan istilah ‘Warga Armalah’ yang diilhamkan oleh arwah Tok Guru Nik Aziz bertujuan mengelakkan penggunaan gelaran ‘janda’ yang berkonotasi negatif, sekali gus memelihara maruah wanita berkenaan daripada stigma masyarakat dan sebarang fitnah.

“Langkah memuliakan golongan ini disokong melalui penggubalan dasar-dasar khusus di bawah portfolio kebajikan, pembangunan keluarga dan wanita seperti Dasar Wanita Solehah Kelantan, Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan serta Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kelantan,” katanya.

Beliau memaklumkan, peruntukan bagi golongan Armalah yang bermula pada 1997 sebanyak RM40,000 telah ditingkatkan kepada RM120,000 setiap tahun bagi memperluas bantuan kebajikan kepada golongan berkenaan.

Tambahnya, bantuan yang disalurkan secara konsisten merentasi 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan itu dianggarkan memberi manfaat kepada purata 800 hingga 1,200 orang Armalah setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KekWa) turut menyusun pelbagai program kebajikan dan latihan bagi memastikan golongan Armalah, anak-anak yatim serta warga emas terus mendapat bimbingan dan peluang untuk mengembangkan keupayaan dalam komuniti.

“Usaha memperkasakan golongan wanita dan institusi keluarga berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang menekankan pembinaan sahsiah insan serta pemeliharaan kebajikan masyarakat,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!