Accessibility Tools

Skip to main content

Datin Wan Nor Hanita ketuai PURNAMA santuni 45 jemaah Masjid Kariah Bagan Pinang, erat ukhuwah dua negeri

  • 11 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 33

KOTA BHARU, 10 Oktober – Yang Dipertua Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (PURNAMA) Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob menyantuni 45 jemaah Masjid Kariah Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan sempena Lawatan Mahabbah ke Kelantan bagi mempererat hubungan silaturahim dan penyatuan ummah.

Beliau berkata demikian ketika menyambut rombongan yang diketuai Mejar Jeneral (B) Dato' Nawawi Daud di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, di sini, hari ini.

Menurutnya, kunjungan itu mencerminkan keindahan hubungan persaudaraan sesama Muslim yang perlu terus dipelihara bagi merapatkan ukhuwah antara masyarakat kedua-dua negeri.

“Alhamdulillah, rasa amat dekat di hati dapat menerima kehadiran seluruh jemaah dan kepimpinan kariah masjid. Keikhlasan serta keindahan kerjasama ini amat manis untuk dirasai, sekali gus merapatkan lagi ikatan tali silaturahim,” katanya.

Beliau berharap seluruh ahli rombongan berpuas hati dengan layanan yang disediakan sepanjang berada di Kelantan.

Beliau juga berharap hubungan baik yang terjalin dapat diteruskan menerusi lawatan pada masa akan datang.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim yang mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud bersama Datin Sri Amar D’Raja Datin Hasmani Hussain.

Pautan berjaya disalin!