36 tahun MBI: Kelantan kekal teguh berteraskan Islam dan integriti
-
11 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
25
KOTA BHARU, 10 Oktober – Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan selama 36 tahun menjadi asas pentadbiran di bawah Kepimpinan Ulama, khususnya dalam membentuk integriti kepimpinan, membangunkan insan serta melaksanakan dasar kebajikan rakyat.
Perkara itu dinyatakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim ketika berucap mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin bagi meraikan Lawatan Mahabbah Jemaah Masjid Kariah Bagan Pinang ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, di sini, hari ini.
Menurutnya, ketahanan pentadbiran berteraskan MBI ibarat sebuah rumah tua yang mampu berdiri teguh melebihi 100 tahun kerana mempunyai asas yang kukuh.
“Arwah Tok Guru Nik Aziz pernah berpesan agar dasar MBI ini sentiasa dipertahankan dan tidak sekali-kali diubah kerana inilah asas utama dalam mendidik, membangun serta membina insan di negeri ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, pegangan terhadap dasar berkenaan turut dizahirkan melalui amalan integriti dalam pentadbiran apabila sehingga kini tiada pimpinan atau wakil rakyat Kerajaan Negeri Kelantan yang dikenakan tindakan salah laku integriti, selain pejabat kerajaan sentiasa terbuka untuk sebarang pemeriksaan.
Tambahnya, komitmen terhadap MBI juga diterjemahkan melalui penggubalan pelbagai dasar kebajikan yang menyentuh keperluan masyarakat, termasuk tujuh dasar di bawah portfolionya.
Dasar berkenaan ialah Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan, Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kelantan, Dasar Kanak-Kanak Fitrah Kelantan, Dasar Anak Yatim Islah Kelantan, Dasar Warga Emas Mukramun Kelantan, Dasar Orang Kurang Upaya Muqarrabun Kelantan serta Dasar Wanita Solehah Kelantan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri kini berada pada fasa ketiga MBI, iaitu fasa penghayatan, bagi memastikan setiap dasar yang digubal dapat diterjemahkan kepada amalan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat, khususnya dalam aspek kebajikan dan pendidikan insan.
Beliau turut memaklumkan bahawa saf kepimpinan negeri akan terus memimpin dan mendidik rakyat berasaskan kefahaman agama serta nilai-nilai Islam meskipun Kelantan berdepan pelbagai cabaran dan persepsi terhadap pentadbiran negeri.










