Kesatuan ummah, kasih sayang tanpa syarat teras Penghayatan Hari Wukuf
Oleh: Norzana Razaly
Foto: Media PKD Meranti
PASIR MAS, 26 Mei - Kesatuan ummah dan kasih sayang tanpa syarat perlu terus diperkukuh dalam masyarakat Islam bagi memastikan kekuatan umat kekal terpelihara, selaras dengan roh ibadah haji yang menyatukan manusia tanpa mengira darjat, bangsa dan latar belakang.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, ibadah haji membawa mesej besar penyatuan apabila umat Islam berhimpun dalam pakaian ihram berwarna putih sebagai lambang persamaan dan ketundukan kepada Allah SWT.
Menurutnya, meskipun pemakaian ihram putih bersifat sunat, namun syariat Islam menekankan kesatuan dalam perkara asas yang wajib dipatuhi.
“Pakaian ihram berwarna putih menggambarkan penyatuan umat. Dalam perkara wajib, tiada tolak ansur seperti kain kafan yang mempunyai ketetapan tersendiri.
“Manusia di sisi Allah SWT adalah sama seperti gigi sisir, yang membezakan hanyalah ketakwaan,” jelasnya ketika menyampaikan tausiah sempena Program Sambutan Penghayatan Hari Wukuf anjuran Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di pekarangan Masjid Mukim Alor Buloh, di sini, hari ini.
Tambahnya, penghayatan Hari Wukuf perlu dijadikan ruang muhasabah diri, khususnya dalam memperkukuh perpaduan umat Islam agar tidak mudah berpecah sehingga melemahkan kekuatan bersama.
Beliau juga mengingatkan, ibadah wukuf di Arafah memperlihatkan kesatuan insan yang berhimpun tanpa mengira kedudukan, selaras dengan tuntutan Islam yang menyeru umat bersatu atas asas iman dan persaudaraan.
“Tekanan akan berlaku apabila umat Islam berpecah walaupun jumlahnya ramai. Sebaliknya, perpaduan menjadi asas kekuatan dalam membangunkan masyarakat dan negeri dengan acuan sendiri,” katanya.
Beliau juga berharap umat Islam memanfaatkan kelebihan Hari Arafah dengan melaksanakan puasa sunat yang sangat dituntut.
Memetik hadis riwayat Abu Qatadah al-Ansari,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meranti itu juga menjelaskan, Rasulullah SAW bersabda bahawa puasa pada Hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
“Rugilah jika kita tidak mengambil peluang berpuasa pada Hari Arafah kerana ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, Penolong Pengarah Kanan UPKN Mohamad Abdul Malik Abdul Karim menyampaikan kuliah bertemakan perjuangan dan kasih sayang tanpa syarat dengan menyoroti kisah sahabat Rasulullah SAW daripada pelbagai latar belakang sebagai lambang kesatuan ummah.
Beliau berkongsi kisah Ummu Mahjan, seorang wanita berketurunan Habsyah yang berhijrah ke Madinah dan diberi amanah membersihkan Masjid Nabawi sebelum Rasulullah SAW menziarahi kuburnya selepas kepulangannya ke alam baqa sebagai tanda penghormatan.
Turut dikongsikan kisah Bilal ibn Rabah yang dimuliakan Rasulullah SAW sebagai muazin Islam serta Julaibib yang dihargai atas pengorbanannya dalam perjuangan Islam meskipun mempunyai kekurangan fizikal.
Menurutnya , kisah-kisah tersebut memperlihatkan bahawa Islam mengangkat martabat manusia berasaskan iman dan pengorbanan, bukannya keturunan atau rupa paras.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhlil Shaari, ADN Pengkalan Pasir YB Mohd Nasriff Daud dan ADN Tendong YB Rozi Muhammad.














