Accessibility Tools

Skip to main content

Program Penghayatan Hari Wukuf platform dekatkan diri kepada Allah - Speaker DUN Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 26 Mei - Program Penghayatan Hari Wukuf anjuran Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN)  di seluruh negari hari ini mampu menjadi medium untuk umat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT serta membina hubungan rohani dalam kehidupan seharian. 

Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Seri Amar Diraja, Dato Dr Mohd Amar Abdullah berkata kehidupan manusia penuh dengan cabaran serta gangguan yang kadangkala menjejaskan masa dan tumpuan terhadap Allah SWT.

Katanya, program seperti itu membolehkan orang ramai meluangkan masa untuk mengosongkan fikiran daripada urusan duniawi dan memberi fokus kepada hubungan dengan Allah SWT.

“Melalui program Penghayatan Hari Wukuf ini sekurang-kurangnya kita boleh mengosongkan sekejap masa kita daripada urusan lain untuk fokus kepada Allah SWT.

“Apabila kita duduk bersama-sama dengan pakaian tema putih dan mendengar ucapan penceramah, sekurang-kurangnya dalam tempoh satu hingga dua jam kita dapat mengosongkan fikiran dan hati daripada perkara duniawi yang menyebabkan kita lalai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Penghayatan Hari Wukuf peringkat Parlimen Pengkalan Chepa, di Dewan Tok Ayah Kedah, Kompleks Tarbiah (KOMTAR) Panchor,di sini, hari ini. 

Menurutnya lagi, ibadah yang dilakukan bukan sekadar bergantung kepada amalan zahir semata-mata, sebaliknya hubungan rohani dengan Allah SWT perlu dibina melalui penghayatan dan kekhusyukan.

“Contohnya nilai sembahyang bukan pada bilangan rakaat semata-mata, tetapi pada tahap khusyuk kepada Allah SWT.

“Kalau kita sembahyang tetapi tidak khusyuk, pahala itu bergantung kepada sejauh mana khusyuk kita dalam sembahyang. Sebab itu sembahyang menjadi jambatan hubungan dengan Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berharap program berkenaan dapat membantu masyarakat membina hubungan yang lebih dekat dengan Allah SWT walaupun hanya berlangsung dalam tempoh singkat.

Tambahnya, jemaah haji yang menunaikan ibadah di Mekah sanggup mengorbankan masa, wang ringgit dan harta benda demi melaksanakan tuntutan agama.

“Orang yang pergi menunaikan haji berhimpun di Arafah dan mereka memberi fokus sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Jadi kita harap melalui program penghayatan Hari Wukuf ini, kita dapat membina jiwa supaya sentiasa dekat dengan Tuhan dan sentiasa berada di atas jalan yang benar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa program Penghayatan Hari Wukuf adalah acara tahunan bagi mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan wukuf di Arafah sebagai kemuncak ibadah haji.

“Tujuan kerajaan mengadakan sambutan Hari Wukuf adalah untuk mewujudkan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat dengan mereka yang pergi menunaikan ibadah haji. Ini kerana semua orang berkeinginan menunaikan ibadah haji tetapi tidak semua berpeluang melaksanakannya,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Ahmad Marzuk Shaari, Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Ahli Dewan Negara Senator Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Mantan ADN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood dan Ketua Pengelola Halaqat Kawasan Pengkalan Chepa Zaharuddin Mohd Zin. 

Terdahulu, berlangsung ceramah khas disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan (Dakwah dan Ukhwah) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Suratemi Mat Yusof.

Pautan berjaya disalin!