Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Dr Izani Husin


AKSB tingkat usaha kurangkan NRW akibat paip bocor, pecah

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 25 Mei - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) komited mengambil inisiatif bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang berpunca daripada kebocoran dan paip pecah dalam sistem agihan bekalan air di negeri ini.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata antara cabaran utama ialah mengesan paip pecah terutama yang berlaku di bawah tanah dan di kawasan bertekanan air rendah.

Katanya, terdapat kebocoran yang dikesan sendiri pihak AKSB selain aduan diterima daripada pengguna, namun masih banyak kes yang sukar dikenal pasti.

“Ada paip pecah yang pihak AKSB cari dan ada yang dilaporkan, namun banyak juga yang tidak dijumpai.

“Paip pecah di bawah tanah sukar dijumpai apabila berlaku tekanan air rendah menyebabkan kebocoran tidak dapat dikesan.

“Di kawasan tekanan air tinggi lebih mudah dikesan kerana air keluar dan boleh dilihat dengan mata kasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Taklimat Status Semasa Bekalan Air di Negeri Kelantan dan Persediaan AKSB untuk Hari Raya Aidiladha, di sebuah hotel, di sin,i pada Ahad.

Menurutnya, walaupun pengeluaran air tinggi, bekalan tidak dapat disalurkan sepenuhnya kepada rakyat disebabkan kehilangan air dalam sistem agihan.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, AKSB akan melaksanakan sistem pengesanan kebocoran dengan membeli peralatan pengesan selain membaiki segera paip bocor.

Menurutnya, AKSB juga bersedia menambah kakitangan sekiranya jumlah sedia ada tidak mencukupi bagi melaksanakan operasi mengesan kebocoran paip dengan lebih efisien.

“Apabila kita beli alat pengesan dan menambah kakitangan sudah tentu akan menambah kos, namun kita tidak kompromi kerana setiap penurunan NRW akan menambah hasil pendapatan kepada AKSB,” jelasnya.

Sementara itu, AKSB menerusi hantaran di laman sosialnya semalam memaklumkan sebahagian penduduk di Tumpat bakal menikmati peningkatan bekalan air bersih apabila tiga telaga tiub baharu di Loji Rawatan Air  (LRA) Wakaf Bharu mula beroperasi pada 23 Mei lalu.

Menurut AKSB, sebanyak tiga telaga tiub dibina dengan anggaran pengeluaran minimum 1.5 JLH bagi setiap telaga dan mampu mencapai sehingga 4.5 JLH.

“Pelaksanaan projek ini akan memberi manfaat kepada hampir 12,500 akaun yang terlibat melalui sumber daripada loji ini,” katanya.

Dalam pada itu, AKSB turut menyeru pengguna mengamalkan langkah penjimatan air dalam aktiviti harian terutama ketika musim perayaan.

Antara langkah disarankan ialah mandi secara ringkas, menutup paip ketika tidak digunakan, menggunakan baldi ketika mencuci kenderaan serta memanfaatkan air hujan untuk kegunaan luar rumah.

“Perubahan kecil dalam amalan harian mampu menjimatkan ratusan liter air dan membantu memastikan bekalan air yang lebih lestari untuk semua,” katanya.

Pautan berjaya disalin!