Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan


SMUATIS Selising terima hak milik tanah dan dana RM614,579

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR PUTEH, 25 Mei — Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Islamiah (SMUATIS), Kampung Lepah, Selising menerima hak milik tanah serta dana peluasan tapak sekolah berjumlah RM614,579 daripada Kerajaan Negeri Kelantan sebagai usaha memperkukuh pembangunan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan institusi pendidikan Islam terus berkembang serta mampu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada generasi masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah, Bayaran Peluasan Tapak Sekolah serta Anugerah Kecemerlangan SPM dan institusi berkenaan, Sabtu lalu.

Menurutnya, pendidikan Islam perlu terus diperkasa kerana institusi terbabit berperanan melahirkan generasi cemerlang yang bukan sahaja unggul dalam akademik, malah memiliki sahsiah, akhlak dan jati diri yang kukuh.

“Pendidikan Islam bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan, tetapi membentuk insan yang mempunyai pegangan agama, nilai akhlak dan jati diri yang kuat.

“Kita mahu anak-anak dibentuk dengan pendidikan yang sempurna, cemerlang ilmunya, baik akhlaknya dan teguh nilai agamanya kerana pendidikan inilah benih yang akan membina masa depan ummah, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, pencapaian SMUATIS membuktikan sekolah agama berupaya berdiri sebagai institusi pendidikan berkualiti dan berdaya saing hingga ke peringkat kebangsaan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan pelajar sekolah berkenaan, Nur Fadzilah Aulia Md Fadzil yang dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Negeri Kelantan bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, kejayaan tersebut lebih bermakna apabila pelajar berkenaan menerima pengiktirafan daripada Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Istana Negara.

Menurut Dato' Dr Fadzli lagi, pencapaian itu menjadi bukti keberkesanan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta mempunyai asas agama yang kukuh.

Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat agar bersama-sama menyumbang kepada pembangunan serta kemudahan sekolah bagi memastikan kelangsungan pendidikan generasi muda terus diperkasakan.

“Tanggungjawab membangunkan pendidikan bukan hanya terletak kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan sokongan masyarakat, ibu bapa dan semua pihak demi masa depan anak-anak,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru, ibu bapa serta seluruh warga SMUATIS atas komitmen berterusan mempertahankan kecemerlangan pendidikan Islam di negeri ini.

Pautan berjaya disalin!