Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah


Rakyat disaran teliti pilih kontraktor bina rumah

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM 25 Mei - Rakyat dinasihatkan supaya membuat penelitian sebelum memilih kontraktor bagi membina rumah kerana hal tersebut membabitkan amanah besar serta pelaburan seumur hidup.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata masyarakat perlu memastikan kontraktor dipilih berdaftar dengan Construction Industry Development Board Malaysia (CIDB), mempunyai rekod kerja baik serta pejabat operasi yang jelas.

Katanya, kontraktor juga perlu menyediakan kontrak hitam putih yang lengkap selain mempunyai testimoni pelanggan yang boleh dipercayai.

“Jangan terlalu mudah percaya sekiranya harga jualan rumah dijual di bawah harga pasaran,” katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.

Menurutnya, selain memilih kontraktor yang baik, rakyat juga perlu mempelajari ilmu asas berkaitan kontrak pembinaan bagi mengelakkan masalah pada masa depan.

Katanya, masih ramai pembeli kurang memahami kandungan kontrak, jadual bayaran, tempoh siap projek, spesifikasi bahan, skop kerja serta hak pengguna sekiranya berlaku kelewatan atau kecacatan binaan.

“Sedangkan kontrak itu sangat penting untuk melindungi kedua-dua pihak,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan tugas kontraktor bukan sekadar membina bangunan, sebaliknya membina kehidupan manusia.

Katanya lagi, kontraktor yang baik ialah mereka yang amanah, jujur, menjaga mutu kerja, menepati masa, tidak menipu spesifikasi serta bertanggungjawab selepas projek disiapkan.

“Kerja yang dilakukan dengan penuh amanah akan melahirkan rumah yang kukuh, selesa, selamat, cantik dan memberi kepuasan kepada pelanggan,” ujarnya.

Menurutnya, di bawah dasar Membangun Bersama Islam, kerajaan negeri mahu pembangunan maju dari sudut fizikal dan dipandu nilai integriti, amanah dan keberkatan.

“Kita tidak mahu pembangunan yang cantik pada bangunan tetapi rosak pada akhlak dan amanah.

“Kontraktor Muslim perlu menjadi contoh terbaik dalam kejujuran, disiplin, menjaga hak pelanggan, menjaga kebajikan pekerja dan menghasilkan kerja berkualiti tinggi,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Ekspo Bina Rumah 2026 yang berlangsung di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu dari 21 hingga 23 Mei lalu.

Sebanyak 47 gerai pameran dibuka membabitkan kontraktor binaan, pereka hiasan dalaman, bank dan institusi kewangan, pembekal bahan binaan, peguam hartanah serta syarikat dalam industri pembinaan dan teknologi hijau.

Beliau berharap ekspo berkenaan dapat mendidik masyarakat, meningkatkan profesionalisme kontraktor, memperkukuh jaringan industri serta melahirkan lebih ramai usahawan pembinaan tempatan yang berjaya dan berintegriti.

Pautan berjaya disalin!