Pengguna digalak gunakan MyAKSB bagi aduan dan bayaran bil air
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 24 Mei – Pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) digalakkan menggunakan aplikasi MyAKSB bagi memudahkan urusan berkaitan perkhidmatan bekalan air termasuk aduan dan pembayaran bil.
Exco Kerjaraya,Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin berkata, rakyat Kelantan khususnya pengguna air AKSB boleh memanfaatkan aplikasi tersebut untuk pelbagai urusan selain dijamin menerima maklum balas lebih cepat dan berkesan.
Menurutnya, pengguna perlu memasang aplikasi berkenaan untuk berurusan dengan AKSB melalui MyAKSB.
“Banyak maklumat mengenai AKSB terdapat dalam aplikasi itu. Untuk membayar bil boleh, aduan dan cadangan juga boleh dibuat melalui MyAKSB."
Beliau berkata demikian kepada media selepas program Taklimat Status Semasa Bekalan Air di Negeri Kelantan dan Persediaan AKSB untuk Hari Raya Aidiladha, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menurutnya, jumlah pengguna aplikasi itu masih rendah berbanding keseluruhan akaun pengguna AKSB.
“Daripada hampir 300,000 pengguna, tidak sampai 10 peratus iaitu kira-kira 30,000 pengguna sahaja yang menggunakan aplikasi AKSB,” katanya.
Mengulas persediaan bekalan air sempena Hari Raya Aidiladha Dato' Dr Izani berkata, penambahan lori air segera terpaksa dilakukan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna yang memerlukan.
Katanya, sebanyak 27 lori air daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), 11 lori tangki AKSB dan lima lori air kontrak AKSB disediakan menjadikan keseluruhan sebanyak 43 lori air.
“Pada musim perayaan ini kita tambah bilangan lori air. Sebelum ini ketika bulan puasa kita berdepan masalah lori tidak mencukupi untuk menghantar bekalan air.
“Untuk Hari Raya Aidiladha ini, insya Allah kita sudah menambah bilangan lori,” katanya.
Beliau turut meminta AKSB menempatkan tangki statik tambahan di kawasan yang mengalami masalah bekalan air mendesak.
“Tangki yang ada mencukupi untuk dibekalkan ke kampung-kampung yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada pengguna supaya memberikan maklumat lengkap dan spesifik berkaitan kerosakan atau masalah air kotor dan tidak meletakkannya dalam media sosial.
Katanya, pengguna perlu membuat aduan dengan menyertakan lokasi dan alamat rumah supaya pihak AKSB dapat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca masalah sebelum tindakan diambil.
“Punca air itu dari mana, sama ada sebelum atau selepas tangki dan sebagainya perlu dikenal pasti.
“Kalau letak dalam media sosial, kita tidak tahu di mana hendak cari. Jadi kalau ada masalah bekalan air atau kerosakan, beri laporan yang spesifik dengan alamat rumah dan lokasi supaya kita boleh pergi melihat masalah sebenar yang berlaku,” jelasnya.










