Accessibility Tools

Skip to main content

Ketua Eksekutif Sekretariat Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), Mohd Ridhuwan Che Musa


43 ADN Belia bahas lima usul utama pembangunan negeri

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 24 Mei – Sebanyak 43 Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan menyertai Persidangan Dewan Belia Negeri Kelantan kali kedua bagi penggal 2025/2026 dengan membahaskan lima usul utama berkaitan pembangunan negeri.

Persidangan itu menghimpunkan wakil ADN Belia mewakili Dewan Negeri (DUN), lantikan khas dan perwakilan dari seluruh Kelantan bagi membincangkan isu melibatkan teknologi, pendidikan, infrastruktur, perpaduan serta ekonomi selaras dengan cabaran semasa rakyat dan pembangunan negeri.

Ketua Eksekutif Sekretariat Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) Mohd Ridhuwan Che Musa berkata, persidangan tersebut bukan sekadar simulasi persidangan semata-mata, sebaliknya menjadi medan perbahasan dan konsultasi belia bersama kerajaan negeri.

Menurutnya, sepanjang hampir setahun bergelar ADN Belia, peserta menunjukkan perkembangan positif dari sudut kematangan, cara berfikir dan kefahaman terhadap realiti pembangunan negeri.

“Pelaksanaan persidangan ini bertujuan memperkukuhkan keupayaan belia dalam memahami dan membahaskan dasar awam negeri.

“Ia juga mengasah kemahiran berhujah secara profesional, berfakta dan beretika selain menghasilkan cadangan dasar yang praktikal dan memberi impak kepada pembangunan negeri,” katanya pada sidang media persidangan tersebut, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada persidangan terdahulu, beberapa cadangan yang dikemukakan ADN Belia telah dibawa ke meja rundingan bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan sebahagiannya telah diambil tindakan.

“Setakat ini hampir 100 peratus pertemuan bersama exco berkaitan portfolio telah dilaksanakan bagi membincangkan usul-usul yang dibawa ADN Belia.

“Daripada usul yang telah dibuat, pihak sekretariat telah menyusun dan membentangkannya di meja rundingan untuk dipertimbangkan di peringkat exco,” ujarnya.

Tambahnya, antara langkah yang sedang dilaksanakan di bawah portfolio Exco Belia ialah pembangunan sistem pemantauan pangkalan data belia negeri Kelantan yang bakal menjadi statistik pemetaan belia negeri.

Dalam persidangan kali ini, ADN Belia dibahagikan kepada lima kluster utama iaitu Kluster Ekonomi, Tadbir Urus dan Sumber Nasional (ECONAS), Kluster Pendidikan, Teknologi dan Pembangunan Modal Insan (EDUTECH), Kluster Pelancongan, Infrastruktur dan Kesihatan (INFRACARE), Kluster Kebajikan Sosial dan Perpaduan Komuniti (UNITY) serta Kluster Agromakanan, Pertanian dan Kelestarian Alam Sekitar (AGROLEST).

Ketua Whip ADN Belia Kelantan, Nik Muhammad Luqman Al-Hakim Mohd Roslan

Sementara itu, Ketua Whip ADN Belia Kelantan Nik Muhammad Luqman Al-Hakim Mohd Roslan berkata, ADN Belia Kelantan kini semakin mendapat perhatian dan menjadi contoh kepada beberapa negeri lain.

Beliau memaklumkan, tahun lalu ADN Belia Kelantan telah diundang menghadiri persidangan dewan belia di peringkat nasional dan pada Julai ini dua wakil dari Kelantan dijadual menyertai Commonwealth Youth Parliament di Australia.

“Ia menunjukkan keseriusan, komitmen dan kompetensi belia Kelantan yang mampu pergi jauh sekiranya diberikan ruang dan dibentuk dengan baik,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!