Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah


Kelantan mahu bangunkan rantaian industri REE bernilai tinggi, makmal standard global dibuka

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 24 Mei — Kelantan menyasarkan pembangunan rantaian industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (REE) secara menyeluruh daripada sektor hulu hingga hiliran bagi menghasilkan nilai tambah ekonomi, seiring pembukaan makmal piawaian mineral nadir bumi bertaraf standard global pertama di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri mempunyai visi jelas untuk memastikan industri REE tidak hanya tertumpu kepada eksport bahan mentah, sebaliknya diperkasa melalui pembangunan ekosistem industri bernilai tinggi.

Menurutnya, pendekatan tersebut melibatkan pengukuhan keseluruhan rantaian industri bermula daripada aktiviti eksplorasi dan perlombongan mampan sehingga penghasilan produk akhir berteknologi tinggi.

“Di peringkat hulu atau upstream, fokus akan diberikan kepada aktiviti eksplorasi dan perlombongan yang mampan serta mematuhi piawaian alam sekitar.

“Di peringkat pertengahan atau midstream pula, kita mahu memperkukuhkan proses pengasingan dan pemprosesan bahan mentah secara domestik agar nilai ekonomi dapat dikekalkan dalam negara.

“Manakala di peringkat hiliran atau downstream, sasaran kita adalah untuk menghasilkan produk akhir bernilai tinggi seperti magnet kekal, komponen kenderaan elektrik (EV) serta pelbagai teknologi hijau yang menjadi keperluan dunia masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan makmal piawaian mineral nadir bumi milik Kelstone Cosmos Gemilang Perkasa di Bandar Baru Tunjung, di sini, hari ini.

Tambahnya, dengan perancangan tersusun dan kerjasama strategik semua pihak, Kelantan berpotensi muncul sebagai hab rantaian bekalan REE yang lengkap dan berdaya saing di rantau ini.

“Insya-Allah, dengan perancangan yang tersusun dan kerjasama semua pihak, kita mahu Kelantan muncul sebagai hub rantaian bekalan REE yang lengkap dan kompetitif di rantau ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan pembangunan industri REE negeri wajib berpaksikan kepada tiga prinsip utama bagi memastikan manfaat ekonomi bergerak seiring tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, prinsip pertama ialah kesedaran bahawa segala hasil bumi merupakan amanah Allah SWT dan manusia bertanggungjawab menguruskannya secara berintegriti sebagai khalifah di muka bumi.

Prinsip kedua menuntut penguasaan ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi supaya khazanah bernilai tinggi itu dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar.

“Khazanah yang bernilai ini tidak akan membawa manfaat sekiranya tidak diproses dengan ilmu pengetahuan dan teknologi yang tinggi. Oleh itu, penguasaan teknologi, inovasi dan kepakaran mesti menjadi teras utama dalam pembangunan industri ini,” ujarnya.

Tambannya, prinsip ketiga pula menekankan pembangunan industri yang memberi kemakmuran kepada rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, pembangunan modal insan serta pertumbuhan ekonomi negeri tanpa mengabaikan aspek kelestarian alam sekitar.

“Industri ini perlu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta membina modal insan yang cemerlang.

“Pada masa sama, aspek pemeliharaan alam sekitar mesti diberikan perhatian serius agar pembangunan yang dilaksanakan benar-benar bersifat lestari dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kelstone P.Geol Phakhruddin Abdullah menjelaskan makmal berkenaan mempunyai keupayaan khusus untuk menganalisis unsur nadir bumi menggunakan piawaian (standard reference material) sebagai penanda aras bagi memastikan ketepatan bacaan analisis mineral.

Menurutnya, unsur piawai tersebut amat penting untuk tujuan penentukuran peralatan analisis agar keputusan yang diperoleh mencapai tahap ketepatan tinggi mengikut standard antarabangsa.

“Standard ini akan digunakan untuk menyelaraskan alat analisa. Tanpa standard yang tepat, nilaian atau bacaan yang diberikan daripada analisa akan memberi nilai yang tidak tepat.

“Pada masa kini, standard bagi 17 elemen REE ini adalah terkawal dan Kelstone Cosmos Lab memperoleh standard tersebut secara terus dari China,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, makmal Kelstone Cosmos merupakan satu-satunya makmal di Malaysia yang berjaya memperoleh bekalan piawaian REE secara langsung dari China, sekali gus meletakkannya pada kedudukan strategik dalam menyokong pembangunan industri nadir bumi negara berasaskan analisis saintifik bertaraf global.

Pautan berjaya disalin!