Accessibility Tools

Skip to main content

Dua chef anak Kelantan wakili Malaysia di pentas kulinari ASEAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 24 Mei — Dua chef anak Kelantan dipilih mewakili Malaysia ke program gastronomi serantau “Pharmtable: Masa Depan Kulinari ASEAN” di Wilayah Chanthaburi dan Bangkok, Thailand dari 22 hingga 25 Mei, sekali gus mengangkat warisan kulinari negeri ke pentas antarabangsa.

Sehubungan itu, Exco Kebudayaan, Pelancongan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, penyertaan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap keunikan gastronomi Kelantan yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau.

Program berprestij itu menghimpunkan chef dari negara ASEAN termasuk Singapura, Brunei Darussalam, Vietnam, Timor-Leste, Myanmar, Indonesia, Kemboja dan Thailand selaku tuan rumah bagi mempersembahkan warisan kulinari masing-masing.

“Tahniah diucapkan kepada dua chef anak Kelantan iaitu Chef Norhisyam Musthapa dari Ibis Hotel serta Chef Wardi Hassan dari Grand Riverview Hotel, Kota Bharu yang diberi penghormatan membawa nama Malaysia menerusi persembahan menu tradisional terkenal Negeri Kelantan iaitu Nasi Kerabu,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.

Menurut Datuk Kamarudin, penyertaan dua chef tersebut menjadi platform memperkenalkan makanan tradisional Kelantan kepada masyarakat antarabangsa.

Penyertaan mereka juga menyokong usaha memperkukuh kedudukan Kota Bharu Bandar Raya Islam sebagai calon Ibu kota Gastronomi Malaysia pada masa hadapan.

Katanya lagi, program berkenaan turut membuka ruang jaringan strategik dan pertukaran idea dalam kalangan penggiat industri kulinari ASEAN, khususnya dalam memartabatkan makanan warisan sebagai produk pelancongan bernilai tinggi.

Majlis perasmian program disempurnakan Timbalan Setiausaha Tetap Kebudayaan Wilayah Chanthaburi, Ranee Itarat dan turut dihadiri Gabenor Wilayah Chanthaburi, Monsit Paisartanawat.

Datuk Kamaruddin berharap penyertaan itu dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama serantau dalam sektor pelancongan, kebudayaan dan gastronomi ASEAN, sekali gus memperluas pengiktirafan terhadap identiti kulinari Kelantan di peringkat global.

Pautan berjaya disalin!