Accessibility Tools

Skip to main content

150 peserta, 11 negara meriahkan Pesta Wau Antarabangsa 2026

Oleh: Asri Hamat

BACHOK, 24 Mei – 150 peserta mewakili 11 negara memeriahkan Pesta Wau Antarabangsa 2026 kategori Kebangsaan, ASEAN dan Jemputan Ke-43.

Pesta tersebut berlangsung Pantai Irama Bachok pada 20 hingga 23 Mei lepas.

Penyertaan dari seluruh Malaysia melibatkan pemain yang bernaung di bawah Majlis Pelayang Malaysia (MPM), bahkan turut disertai peserta antarabangsa dari 10 negara.

Negara-negara tersebut ialah Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Brunei Darussalam, Macau, China, Hong Kong, Sweden dan Amerika Syarikat.

Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zameri Mat Nawang berkata, penyertaan dari pelbagai negara membuktikan Kelantan terus mendapat perhatian dunia sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik serta kaya dengan nilai warisan.

“Saya berharap penyertaan mereka dalam acara ini akan memberikan pengalaman yang hebat dan tidak dapat dilupakan, yang boleh dikongsikan bersama rakan-rakan, komuniti dan juga negara mereka.

“Saya juga berharap kisah hebat tentang Kelantan akan memberi inspirasi kepada mereka untuk terus datang ke Kelantan dan memberitahu rakan mereka bahawa Kelantan ialah sebuah negeri yang selamat di Malaysia."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan acara berkenaan di Pantai Irama, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, pesta wau bukan sekadar pertandingan atau hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi simbol identiti budaya dan warisan masyarakat Melayu yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Katanya lagi, wau membawa nilai seni, kreativiti, ketelitian serta semangat kebersamaan yang tinggi.

“Tema ‘Wau Sepanjang Zaman’ yang diketengahkan pada tahun ini amat bertepatan dalam usaha memastikan seni permainan tradisional ini terus relevan merentasi generasi dan dikenali di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, kerajaan negeri melalui portfolio pelancongan sentiasa komited memperkasakan sektor pelancongan budaya dan komuniti sebagai pemangkin ekonomi rakyat.

“Program seperti ini bukan sahaja mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, malah turut memberi manfaat kepada usahawan tempatan, penggiat seni budaya, pengusaha makanan serta komuniti setempat khususnya di Bachok.

“Pantai Irama yang menjadi lokasi utama festival ini juga mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan keluarga dan rekreasi yang terus berkembang di negeri Kelantan,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar penganjuran festival tersebut terus diperkasakan pada masa hadapan dengan lebih banyak pengisian kreatif, inovatif dan bertaraf antarabangsa agar seni wau terus terbang megah membawa nama Kelantan ke persada dunia.

Dalam pesta kali ini, sebanyak 15 kategori dipertandingkan melibatkan lebih 400 wau, antaranya wau bercahaya antarabangsa, wau berwarna-warni, wau daun dan wau bulan yang menyaksikan Kelantan muncul juara keseluruhan.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama, YB Mohd Huzaimy Che Husin, Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohamad Muda Bahadin, Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) Mohd Azwan Ab Rahman, Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM) A. Rahim Nin serta Ketua Polis Bachok Supt. Mohamad Ismail Jamaluddin.

Pautan berjaya disalin!