Lensa fotografer antarabangsa pendekatan diplomasi visual Kelantan-Singapura
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 22 Mei – Kelantan terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa apabila menjalin jaringan industri pelancongan lebih erat dengan Singapura melalui pendekatan diplomasi visual menerusi program fotografi antarabangsa Malaysia Through My Lens 2026.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, program tersebut menjadi platform strategik dalam memperkenalkan keunikan Kelantan kepada pasaran antarabangsa menerusi hasil karya jurugambar profesional dan penceritaan visual kreatif.
Menurutnya, kehadiran delegasi daripada Malaysia Association in Singapore (MASIS), The Photographic Society of Singapore (PSS) serta peserta program Malaysia Through My Lens membuktikan keyakinan terhadap potensi besar Kelantan sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya, warisan dan alam semula jadi.
“Kerajaan Negeri Kelantan amat mengalu-alukan kehadiran semua peserta dari Singapura ke bumi Kelantan Darul Naim. Kehadiran jurufoto profesional amat bermakna dalam usaha mempromosikan produk pelancongan negeri ini kepada masyarakat antarabangsa melalui seni fotografi dan penceritaan visual yang kreatif.
“Program seperti ini amat signifikan kerana fotografi ialah seni yang boleh dijadikan instrumen promosi pelancongan yang sangat berpengaruh dalam era digital masa kini. Setiap gambar yang dirakam dan dikongsi mempunyai potensi besar untuk menginspirasikan ribuan pelancong dari seluruh dunia datang meneroka Kelantan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Malaysia Through My Lens 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Beliau berpuas hati dengan kerjasama strategik antara Tourism Malaysia, MASIS dan PSS yang berjaya menghimpunkan 30 peserta termasuk jurugambar antarabangsa tersohor, William Chua yang pernah meraih pengiktirafan Southeast Asia Photographer of the Year 2025 dan World’s Top 10 Travel Photographer 2022.
“Penglibatan tokoh fotografi bertaraf dunia seperti William Chua merupakan satu penghormatan besar buat Kelantan dan membuka peluang luas untuk negeri ini dipromosikan di peringkat global melalui karya visual berkualiti tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kelantan memiliki kekayaan luar biasa daripada aspek warisan budaya, seni tradisional, gastronomi unik serta landskap alam semula jadi yang mempesona.
Katanya lagi, keindahan pembuatan wau, persembahan wayang kulit, dikir barat dan silat, selain pesona kampung tradisional, masjid bersejarah serta destinasi alam semula jadi seperti Dabong dan Gunung Stong menjadikan negeri ini kaya dengan pengalaman yang wajar diterokai.
Pada masa sama, beliau turut menyambut baik pengenalan laluan penerbangan terus Scoot dari Singapura ke Kota Bharu yang disifatkan sebagai perkembangan positif dalam memperkukuh hubungan pelancongan antara kedua-dua destinasi.
“Laluan penerbangan ini diyakini mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada pemain industri pelancongan tempatan termasuk sektor hospitaliti, pengangkutan, kraftangan, gastronomi serta perusahaan kecil.
“Peningkatan kedatangan pelancong antarabangsa khususnya dari Singapura juga diharap dapat menggalakkan syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan terus ke Kota Bharu pada masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia atas komitmen berterusan mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa.
“Kita berharap kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan menerusi lebih banyak program promosi, lawatan suai kenal (familiarisation trip) dan jaringan industri pelancongan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau juga yakin semua peserta program akan memperoleh pengalaman bermakna sepanjang berada di Kelantan serta pulang dengan koleksi fotografi menarik sekali gus membawa bersama kenangan tentang keramahan rakyat, kekayaan budaya dan keindahan negeri ini.












