Kejayaan UMI bina manusia sebelum sistem — YBM Dato' SUK
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Korporat SUK
KOTA DARULNAIM, 21 Mei — Kekuatan sebenar prinsip 'Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan (UMI) terletak pada kejayaannya membina manusia sebelum membina sistem.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Tengku Mohamed Faziharudean al-Haj Tengku Feissal berkata, sistem boleh diwujudkan melalui peraturan dan teknologi, namun integriti manusia hanya dapat dibentuk menerusi nilai, pendidikan dan pembentukan jiwa.
“Asas ini telah dibina dengan begitu baik. Tinggal lagi bagaimana kita semua, khususnya yang menerajui kepimpinan dan pentadbiran negeri, menghidupkan serta mempraktikkan nilai ini dalam diri sebagai pemimpin kerajaan dan pegawai tadbir."
Beliau berkata demikian ketika membentang kertas kerja yang bertajuk UMI sebagai Teras Integeriti Penjawat Awam: Memaknai 'Ubudiyyah Mas'uliyyah dan Itqan dalam Pentadbiran, di program Refresh UMI Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, persoalan yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah sama ada kepimpinan melalui teladan yang ditunjukkan oleh Almarhum Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru' Nik Abdul Aziz Nik Mat masih diamalkan atau hanya tinggal sebagai catatan teori dalam buku dan risalah.
“Kepimpinan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Tuan Guru, adakah masih lagi kita amalkan ataupun sudah hilang dan sekadar catatan dalam buku-buku atau risalah berbentuk teori sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah pentadbiran tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal, projek infrastruktur atau pertumbuhan ekonomi.
Sebaliknya, beliau berpandangan kejayaan sebenar perlu dinilai berdasarkan beberapa aspek utama termasuk kekuatan integriti kerajaan dan penjawat awam, tahap amanah serta tadbir urus, selain kecekapan pegawai dalam keterbatasan sumber.
"Selain itu kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan penjawat awam, kestabilan sosial masyarakat serta pembangunan insan dari sudut akhlak juga perlu dijadikan ukuran utama kejayaan pentadbiran," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau percaya prinsip UMI masih relevan untuk dijadikan asas pembentukan perkhidmatan awam pada masa depan.
Katanya, prinsip itu menekankan aspek kecekapan dan profesionalisme serta turut mengutamakan amanah, integriti dan jiwa rakyat dalam kalangan penjawat awam.









