Accessibility Tools

Skip to main content

YIK-UiTM pemangkin budaya STEM dalam kalangan pelajar

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 21 Mei – Kerjasama antara Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan menjadi pemangkin kepada usaha menyemarakkan budaya inovasi serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini.

Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha tersebut penting dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap bidang sains, teknologi, inovasi, kreativiti serta kemahiran penyelesaian masalah secara praktikal.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat barisan pensyarah Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, dalam sesi berkenaan pihak UiTM Cawangan Kelantan turut membentangkan beberapa projek inovasi dan STEM yang telah dilaksanakan termasuk cadangan untuk diperluaskan ke sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan.

“Usaha ini sangat baik kerana ia dapat memberi pendedahan awal kepada para pelajar terhadap bidang sains, teknologi, inovasi, kreativiti dan kemahiran penyelesaian masalah secara praktikal.

“Kehadiran pihak YIK amat penting bagi melihat ruang kerjasama yang boleh diterjemahkan secara lebih tersusun, khususnya dalam memperkukuh budaya inovasi dan minat pelajar terhadap bidang STEM di institusi pendidikan YIK,” katanya  di laman rasmi, semalam.

Turut hadir, Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar bersama pegawai-pegawai YIK.

Dato' Wan Roslan berkata, beliau menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap kerjasama antara UiTM Cawangan Kelantan dan YIK dapat terus diperkasakan demi manfaat pelajar di negeri ini.

“Pendidikan masa depan bukan sahaja menuntut penguasaan ilmu agama dan akademik, bahkan perlu diperkukuh dengan kemahiran teknologi, daya fikir kreatif serta keberanian mencipta penyelesaian baharu.

“Insya Allah, semoga usaha ini menjadi satu lagi langkah ke arah melahirkan generasi pelajar yang rabbani, berilmu, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!