Accessibility Tools

Skip to main content

Pasukan nasyid SMU A Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung rangkul juara di UMK Bachok

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media UMK

TUMPAT, 21 Mei – Pasukan nasyid SMU A Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat berjaya mengharumkan nama sekolah apabila muncul juara Pertandingan Akhir Nasyid Karnival Semarak Ilmu 4.0 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan Bachok, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, kejayaan itu menjadi kebanggaan seluruh warga sekolah, guru serta ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada para pelajar.

Menurutnya, kemenangan tersebut turut diserikan dengan kejayaan kumpulan berkenaan merangkul Anugerah Vokal Terbaik dalam pertandingan itu.

“Bukan mudah untuk berdiri di pentas besar. Di sebalik kemenangan ini pasti ada latihan, masa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para pelajar bersama guru pembimbing dalam membawa mesej dakwah melalui seni nasyid,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan pelajar sekolah agama juga mampu menyerlah dalam bidang seni yang membawa nilai positif dan pendidikan.

“Semoga anak-anak SMU A Tarbiah Diniah Tahfiz terus melakar lebih banyak kejayaan selepas ini serta menjadi inspirasi kepada pelajar lain,” tambahnya.

Karnival Semarak Ilmu 4.0 yang berlangsung selama lima hari bermula 17 sehingga 21 Mei itu dianjurkan oleh Universiti Malaysia Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Menurut laman rasmi UMK, tempat kedua pertandingan tersebut dimenangi oleh SMK Lembah Bidong manakala tempat ketiga menjadi milik SMKA Tok Bachok.

Manakala, Anugerah Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh SMK Puteri Saadong.

Pautan berjaya disalin!