Accessibility Tools

Skip to main content

Program KAPOK galak budaya bercucuk tanam dalam komuniti

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 21 Mei — Program Apo Kobar Pok Tani Agro Al-Falah (KAPOK) DUN Kijang menjadi medium dalam menggalakkan budaya bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat menerusi pemanfaatan kawasan sekitar rumah untuk tanaman bernilai tinggi.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, program tersebut turut memberi peluang kepada peserta menjana hasil melalui tanaman yang sesuai diusahakan di kawasan kediaman masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri KAPOK DUN Kijang di Pusat Khidmat Dun Kijang, semalam.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail

Menurutnya, inisiatif bersama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) itu mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan aktiviti pertanian sebagai sumber makanan dan pendapatan sampingan.

“Program ini diharap dapat menggalakkan masyarakat memanfaatkan tanah di sekitar rumah dengan tanaman yang boleh memberi hasil dan manfaat berterusan.

“Pada masa sama, ia turut menyemai minat masyarakat terhadap aktiviti bercucuk tanam serta membantu peserta memulakan tanaman bernilai tinggi,” ujarnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang, YB Dato’ Dr Izani Husin

Turut bersama dalam program tersebut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato’ Dr Izani Husin yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada program tersebut, sebanyak 200 anak pokok Cempedak King disampaikan kepada para peserta sebagai usaha menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sektor pertanian dan agromakanan.

Pautan berjaya disalin!