Accessibility Tools

Skip to main content

Nilai UMI sentiasa sesuai dengan keperluan semasa — MB Kelantan

Oleh: Asri Hamat
Foto: Media Korporat SUK

KOTA DARULNAIM, 21 Mei - Prinsip dan nilai UMI yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan  sentiasa relevan serta mampu disesuaikan mengikut keperluan semasa tanpa mengubah perkara dasar dan usul utama, khususnya berkaitan agama.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang,Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud berkata, pelaksanaan UMI bersifat terbuka menjadikannya fleksibel untuk diterjemahkan melalui kreativiti dan inovasi mengikut tuntutan zaman dalam pelaksanaan tugas penjawat awam.

“Pelaksanaan UMI bukanlah satu perkara yang jumud dan tertutup. Sebaliknya, konsep dan nilai UMI boleh diterjemahkan mengikut tuntutan serta keperluan semasa dalam pelaksanaan tugas."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Refresh UMI Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini. 

Menurutnya, dalam pelaksanaan Mas’uliyyah, terdapat beberapa kaedah fiqh yang dijadikan asas termasuk “Al-Yaqin La Yazal Bi al-Syak” yang membawa maksud keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan.

Katanya, dalam konteks pentadbiran awam, penjawat awam perlu memastikan setiap urusan dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan serta mendapatkan penjelasan daripada pihak atasan sekiranya timbul keraguan.

Beliau turut menjelaskan kaedah “Ad-Dararu Yuzal” yang bermaksud kemudaratan hendaklah dihindarkan perlu diterapkan dalam urusan pentadbiran dengan mengenal pasti risiko serta memilih kaedah terbaik untuk mengatasinya.

“Prinsip dan nilai UMI ini hendaklah diolah dalam istilah pentadbiran awam supaya penjawat awam dapat memahami, melaksanakan dan menghayatinya dalam seluruh kehidupan.

“Dengan ini, kita dapat melahirkan anggota perkhidmatan awam negeri Kelantan yang beretika dan berakhlak mulia,” katanya.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan dalam program Refresh yang bertemakan "Memperkasakan Nilai Teras Ke Arah Kecemerlangan Kerja".

Kertas Kerja Pertama dibentangkan oleh Penasihat Khas Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) yang juga Manta Menteri Besar YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob yang bertajuk Membangun Bersama Islam: Falsafah, Nilai Teras dan Budaya Kerja Cemerlang. 

Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa, Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean al-Tengku Feissal yang bertajuk UMI sebagai teras Integeriti Penjawat Awam: Memaknai 'Ubudiyyah Mas'uliyyah dan Itqan dalam Pentadbiran. 

Kertas kerja ketiga dibentangkan oleh Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar Diraja Dato' Dr. Mohd Amar Abdullah yang bertajuk Pelaksanaa UMI pada Era Al-Marhum Tuan Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kelantan YB Zawawi Ghazali, Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan  YB Dato' Rosnazli Amin, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)  Dato' Aziz Rahimi Mohamed, ketua-ketua jajahan dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Pautan berjaya disalin!