Sumber mineral diceroboh, 58 penguatkuasaan berjaya rampas 42 jentera bernilai RM8.4 juta
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media TMB
KOTA DARULNAIM, 21 Mei — Sebanyak 58 operasi penguatkuasaan berkaitan pencerobohan dan kecurian sumber mineral dilaksanakan di Kelantan sehingga April 2026, dengan 42 unit jentera pengorek (excavator) berjaya dirampas melibatkan anggaran nilai RM8.4 juta.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, tindakan tegas itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membanteras aktiviti perlombongan haram serta ketirisan hasil bumi negeri.
Menurutnya, isu pencerobohan dan kecurian sumber mineral merupakan kesalahan serius yang tidak akan dikompromi.
“Kerjasama ini bagi memastikan pemantauan, risikan dan tindakan di lapangan dilaksanakan secara lebih tersusun, menyeluruh dan berterusan,” katanya menerusi media sosial pada Rabu.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan digerakkan secara bersepadu menerusi kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Jabatan Perhutanan serta agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Terdahulu, beliau menerima pembentangan daripada Penolong Pengarah (Penguatkuasaan), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan Alireza Ibrahim berkaitan pelaksanaan operasi terhadap aktiviti kecurian hasil bumi dan perlombongan haram serta keberkesanan tindakan di lapangan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan operasi dan pemantauan perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan sumber negeri kekal terpelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan dan ketirisan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkukuh kerangka perundangan sedia ada melalui penambahbaikan undang-undang serta cadangan hukuman lebih berat sebagai langkah pencegahan lebih tegas terhadap pihak terlibat.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengarah PTG Kelantan Dato’ Nik Raisnan Daud serta seluruh anggota penguat kuasa dan agensi terlibat atas komitmen serta keberanian dalam melaksanakan amanah menjaga khazanah hasil bumi negeri.








