Premis perniagaan ditutup pada pagi Aidiladha -TMB Kelantan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 20 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya mega di negeri ini ditutup sepenuhnya pada hari pertama Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, keputusan itu adalah selaras dengan pelaksanaan yang telah diputuskan sebelum ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Bilik Sidang Akhbar, Mabna, hari ini.
Menurutnya, premis makanan segera, kedai serbaneka dan premis seumpamanya pula hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 1 tengah hari pada hari pertama Aidiladha.
“Keputusan adalah sama dengan apa yang diputuskan pada Hari Raya Aidilfitri.
“Kompleks beli-belah, pasar raya dan juga pasar raya besar ditutup sepenuhnya pada hari pertama hari raya,” katanya.
Menurutnya lagi, premis makanan segera serta kedai serbaneka seperti 7-Eleven, E-mart dan premis seumpamanya turut diarahkan ditutup sehingga jam 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha.
Jelasnya, pelaksanaan itu diteruskan bagi memberi ruang kepada pekerja menunaikan solat sunat Aidiladha serta melaksanakan ibadah korban bersama keluarga.
“Ini adalah bagi memberikan laluan kepada pekerja-pekerja untuk menunaikan solat Aidiladha dan juga mungkin melakukan ibadah korban,” ujarnya.








