Accessibility Tools

Skip to main content

Gangguan bekalan air di Rantau Panjang selesai

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media AKSB

KOTA BHARU, 20 Mei – Isu gangguan bekalan air yang menjejaskan kira-kira 320 akaun pengguna di Kampung Bukit Tandak, Kampung Kubang Kuar, Kampung Barul Pial dan Kampung Bendang Ikan di Rantau Panjang selesai susulan siapnya projek telaga milik Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK) berkapasiti 1.5 juta liter sehari (JLH).

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi  laman rasminya pada Selasa memaklumkan, krisis bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk di kawasan terbabit kini dapat diatasi selepas telaga berkenaan siap dibina dan diserahkan kepada AKSB bagi tujuan pengagihan bekalan air kepada pengguna.

Menurut kenyataan itu, bekalan air daripada telaga terbabit akan disalurkan ke beberapa kawasan utama iaitu Kampung Bukit Tandak, Kampung Kubang Kuar, Kampung Barul Pial dan Kampung Bendang Ikan.

“Sebanyak 320 pengguna menerima manfaat daripada projek ini dan jumlah itu dijangka terus meningkat apabila bekalan air kembali pulih sepenuhnya di kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu.

AKSB berkata, inisiatif berkenaan diharap dapat memberi keselesaan kepada penduduk setempat selain memastikan sistem bekalan air lebih stabil dan berterusan kepada pengguna di kawasan Rantau Panjang.

Dalam perkembangan lain, AKSB memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh Kelantan bagi membendung kes kecurian air.

Menurutnya, isu kecurian air juga dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada Air Tidak Berhasil (NRW).

“Orang ramai diminta segera melaporkan kepada AKSB sekiranya terdapat aktiviti kecurian air di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Pautan berjaya disalin!