Kerajaan negeri seru semua pihak banteras jenayah serius
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 20 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan menyeru semua pihak termasuk agensi penguatkuasaan, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat dan ibu bapa supaya memperkukuh usaha membanteras jenayah serius susulan peningkatan kes pembunuhan di negeri ini dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2026.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan menyifatkan peningkatan kes berkenaan sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan walaupun indeks jenayah Kelantan masih rendah berbanding negeri-negeri lain.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan wartawan berhubung kenyataan Ketua Polis Kelantan mengenai peningkatan kes pembunuhan melebihi 100 peratus semasa sidang media di Bilik Sidang Akhbar, Mabna, hari ini.
Menurutnya, peningkatan kes pembunuhan daripada satu kes dalam tempoh sama tahun 2025 kepada empat kes dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini memerlukan perhatian semua pihak bagi memastikan gejala jenayah serius dapat dikawal.
“Kita, kerajaan negeri sangat memandang berat dalam hal ini dan kita rasa itu amat mendukacitakan.
“Walaupun statistik jenayah besar dan jenayah serius bagi Negeri Kelantan masih lagi rendah berbanding negeri-negeri lain, tetapi peningkatan daripada satu kes pada tahun 2025 kepada empat kes bagi tempoh sama tahun 2026 bagi kita menyedihkan,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan dan keselamatan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di negeri ini.
Katanya, usaha membendung jenayah tidak boleh dipikul oleh pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan pemimpin masyarakat.
“Kerajaan akan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya dan meminta sumbangan kepada agensi-agensi penguatkuasaan, agensi-agensi keselamatan, ibu bapa, institusi dan sebagainya yang berusaha untuk mencegah perkara ini daripada berlaku,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan juga akan mempertingkat usaha memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat mengenai isu sosial serta faktor yang boleh mendorong kepada berlakunya jenayah.
Katanya lagi, pendekatan tersebut akan melibatkan pelbagai saluran termasuk institusi pendidikan agama dan program kesedaran awam bagi membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap kepentingan menjaga keselamatan serta keharmonian sosial.
“Kerajaan juga melalui agensi-agensi kita akan cuba bekerjasama bagi mendalamkan kefahaman dan kesedaran terhadap isu sosial jenayah ini kepada rakyat.
“Insya Allah daripada pihak sekolah agama sampailah kepada aspek-aspek yang berkaitan kesedaran awam dan sebagainya,” ujarnya.
Dato' Dr Mohamed Fadzli juga memaklumkan, kerajaan negeri menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, penguat kuasa agama, pemimpin politik, pemimpin masyarakat dan ibu bapa supaya memainkan peranan masing-masing dalam menanam kesedaran tinggi kepada rakyat bagi mengekang peningkatan jenayah.
Katanya, Kelantan yang membawa dasar Membangun Bersama Islam perlu terus mengekalkan persekitaran masyarakat yang aman dan sejahtera melalui kerjasama semua lapisan masyarakat.
“Sebab itulah kita masih lagi terendah berbanding negeri-negeri lain, tetapi peningkatan sepertimana yang disebutkan oleh Ketua Polis Kelantan itu amat mendukacitakan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas komitmen dan usaha berterusan dalam membanteras kegiatan jenayah di negeri ini.








