Hutan Bandar Bukit Chupak tarikan baharu pelancongan di Gua Musang
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 20 Mei — Hutan Bandar Bukit Chupak berpotensi sebagai tarikan baharu pelancongan Gua Musang berikutan keunikan landskap semula jadi serta kedudukannya yang strategik dalam kawasan bandar.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kebersihan dan Alam Sekitar Kelantan YB Hilmi Abdullah berkata, pembangunan kawasan berkenaan bukan sahaja memberi nilai rekreasi kepada masyarakat, malah turut memperkukuh identiti Gua Musang sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Hutan Bandar Bukit Chupak ini bukan sekadar projek rekreasi, tetapi simbol transformasi Gua Musang sebagai bandar yang mesra alam dan beridentitikan eko-pelancongan,” katanya di laman rasmi, pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pembangunan kawasan tersebut bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) Roshdi Ismail di puncak Bukit Chupak pada 17 Mei.
Menurutnya, lokasi Bukit Chupak yang berketinggian sekitar 172 meter serta terletak bersebelahan Taman Tasik Ketitir dan di belakang Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menjadikannya kawasan yang sangat strategik untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan bandar.
“Dengan keunikan landskap batu kapur dan kedudukan strategik dalam bandar, Bukit Chupak berpotensi menjadi ikon eko-pelancongan baharu di Kelantan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan projek pembangunan Hutan Bandar Bukit Chupak dilaksanakan melalui peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) dengan nilai awal hampir RM500,000 melibatkan pembinaan dataran dan gerbang masuk, jalan ke puncak, menara tinjau (view tower), tulisan gergasi “Ya Allah, Selamatkan Gua Musang”, pit stop serta landskap asas.
Tambahnya, kawasan tersebut kini menyediakan tiga trek pendakian dengan tahap kesukaran berbeza yang sesuai untuk keluarga, pendaki santai serta peminat aktiviti hiking.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja datang untuk beriadah, tetapi turut menghargai alam sekitar yang masih terpelihara di kawasan ini,” jelasnya.
Menurut YB Hilmi lagi, menara tinjau yang disediakan juga memberi peluang kepada pengunjung menikmati panorama Bandar Gua Musang yang dikelilingi formasi gua batu kapur yang unik, selain turut dilengkapi elemen pendidikan biodiversiti melalui label pada pokok terpilih.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sama-sama menjaga kebersihan dan memelihara kehijauan kawasan berkenaan bagi memastikan ia terus menjadi destinasi rekreasi yang lestari untuk generasi akan datang.


















