Accessibility Tools

Skip to main content

10 usahawan kecil terima bantuan Skim Bina Usahawan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR PUTEH, 20 Mei — Sejumlah 10 usahawan kecil menerima bantuan wang tunai menerusi Skim Bina Usahawan DUN Gaal Fasa 1 Tahun 2026 sebagai inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan keluarga.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Ja’afar berkata, bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM10,000 itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima bagi mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

Menurutnya, golongan peniaga dan usahawan kecil memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat selain membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarga.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Bina Usahawan DUN Gaal Fasa 1 Tahun 2026 di Dewan Sri Gaal, Pejabat Pusat Khidmat DUN Gaal, semalam.

“Gunakan dan manfaatkan sumbangan ini sebaiknya untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Bantuan ini juga sedikit sebanyak mampu meningkatkan semangat kepada peniaga dan usahawan untuk terus berusaha menambahkan pendapatan keluarga,” katanya.

Menurut YB Mohd Rodzi, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan ekonomi rakyat khususnya golongan usahawan kecil yang memerlukan sokongan untuk meneruskan perniagaan.

Katanya, bantuan seperti itu diharap dapat memberi suntikan motivasi kepada penerima untuk terus berdaya saing dan memperkukuhkan sumber pendapatan keluarga.

Beliau turut berharap para penerima dapat menggunakan bantuan yang disalurkan secara berhemah demi memastikan perniagaan yang diusahakan terus berkembang pada masa hadapan.

Pautan berjaya disalin!