Exco Belia seru pelajar tingkatan empat dan lima sertai KFLC 2026
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 20 Mei – Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad menyeru pelajar tingkatan empat dan lima anak kelahiran Kelantan supaya merebut peluang menyertai Kelantan Future Leaders Camp (KFLC) 2026 yang bakal berlangsung pada 2 hingga 4 Jun ini.
Beliau berkata, program anjuran Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) itu terbuka kepada pelajar yang memiliki kad pengenalan berkod 03 tanpa mengira sama ada mereka belajar di Kelantan atau di luar negeri.
Menurutnya, KFLC 2026 akan diadakan di Damai Village Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan, sahsiah serta kecemerlangan akademik pelajar.
“Antara matlamat utama program ini ialah melatih adik-adik menjadi pemimpin yang baik untuk masa sekarang dan masa depan negeri Kelantan.
“Selain itu, program ini juga diharap dapat membantu peserta menjadi pelajar yang berjaya dalam akademik termasuk sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM dan apabila melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya di laman rasmi pada Isnin.
Beliau berkata, pelbagai slot dan aktiviti menarik telah disusun sepanjang program berlangsung antaranya Leadership Development, Morning Drill, Leadership Challenge, Self Reflection, Explorace serta Leadership Forum.
Tambahnya, pendaftaran program berkenaan kini dibuka dan akan ditutup pada Sabtu, 23 Mei ini.
"Seperti biasa disebabkan program ni sangat eksklusif, peserta hanya terhad kepada 150 orang anak-anak Kelantan yang terbaik yang akan kita pilih" ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang layak untuk segera membuat permohonan dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi Kelantan Future Leaders Institute.








