150 pelajar IPTA/IPTS di Limbongan terima sumbangan kerajaan negeri
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH, 20 Mei — Sebanyak 150 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menerima sumbangan one-off Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Sumbangan One-Off IPTA/IPTS Siri 1 Tahun 2026.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan YB Nor Asilah Mohamed Zin berkata, bantuan tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban pelajar dan keluarga khususnya bagi menghadapi kos awal pengajian.
Menurutnya, pendidikan merupakan aspek penting dalam melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negeri pada masa hadapan.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS.
“Semoga sumbangan ini dapat membantu dan menjadi pembakar semangat kepada para pelajar untuk terus berjaya dalam bidang pengajian masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sumbangan Sekali Beri IPTA/IPTS Siri 1 Tahun 2026 di Dewan Tok Guru, Pusat Khidmat DUN Limbongan, semalam.
Menurut YB Nor Asilah, penyampaian bantuan tersebut akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan lebih ramai pelajar yang layak menerima manfaat daripada inisiatif kerajaan negeri itu.
Jelasnya, sokongan berterusan terhadap bidang pendidikan amat penting dalam memastikan anak-anak Kelantan terus mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas sumbangan dan perhatian yang diberikan kepada golongan pelajar di negeri ini.












