TNB Kelantan sumbang lampu solar di Tanah Perkuburan Kemboja Kampung Paloh
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 20 Mei — Inisiatif pemasangan lampu solar hasil sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Kemboja Kampung Paloh dijangka meningkatkan keselesaan pengunjung serta memperkukuh pengurusan kawasan perkuburan itu secara lebih sistematik.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman berkata, usaha tersebut mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan tanah perkuburan sentiasa berada dalam keadaan terurus dan selamat untuk kegunaan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Replika Cek Sumbangan Lampu Solar untuk Tanah Perkuburan Islam Kubur Kemboja Kampung Paloh, di sini, semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong, YB Shaari Mat Yaman
Sumbangan berkenaan disalurkan oleh TNB Kelantan yang diwakili Pengurus Hal Ehwal Berkepentingan Roshazhar Arifin.
Menurut YB Shaari, pengurusan tanah perkuburan yang tersusun amat penting khususnya di kawasan bandar berikutan ruang perkuburan yang semakin terhad akibat pertambahan penduduk.
“Tanah perkuburan di kawasan bandar dilihat semakin terhad berikutan berlaku pertambahan penduduk.
Roshazhar Arifin Pengurus Hal Ehwal Berkepentingan TNB Kelantan
“Oleh itu, tanah perkuburan juga memerlukan pengurusan dan penyusunan semula yang lebih baik serta tidak wajar sesuatu kawasan dibiarkan menjadi milik keluarga tertentu sahaja,” katanya.
Menurutnya, kawasan tanah perkuburan tersebut sebelum ini berada dalam keadaan kurang terurus dan dipenuhi semak-samun sebelum pelbagai usaha penambahbaikan dilaksanakan oleh pihak pengurusan.
Beliau juga memaklumkan, Pusat Khidmat DUN (PKD) sentiasa bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam membantu masyarakat termasuk melibatkan aspek kebajikan rakyat dan kemudahan awam.
Beliau berharap kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi korporat bagi memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan.
Sementara itu, Roshazhar pula memaklumkan, pemasangan lampu solar tersebut merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB Kelantan.
Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan hasil kutipan bayaran bil pengguna yang disalurkan kepada majlis agama sebelum dikembalikan semula kepada TNB untuk manfaat masyarakat.
Tambahnya, Persatuan Pekerja Islam TNB turut komited membantu masyarakat menerusi pelbagai bentuk sumbangan termasuk barangan keperluan, penganjuran program dan khidmat sosial.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kubur Kemboja Kampung Paloh Mohd Azman Abdullah.
















