Accessibility Tools

Skip to main content

Tujuh mualaf, 26 masyarakat pelbagai kaum terima manfaat Skim Al-It’am

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 20 Mei — Sebanyak tujuh mualaf dan 26 masyarakat pelbagai kaum menerima manfaat Skim Beras Al-It’am Kerajaan Negeri Kelantan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bantuan Al-It’am kepada penerima bukan Melayu dan mualaf di Pejabat PERKIM Machang, di sini, pada Jumaat lalu.

Menurutnya, program kebajikan seperti itu menjadi medium penting dalam memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di samping membantu golongan yang memerlukan.

“Penyampaian sumbangan Al-It’am ini adalah antara yang kita boleh lihat keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan kepada semua golongan rakyat yang berkelayakan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat yang memerlukan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara secara menyeluruh.

Tambahnya, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban penerima selain menyemai nilai kebersamaan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Beliau turut berharap program kebajikan seumpama itu dapat diteruskan secara berterusan demi manfaat lebih ramai rakyat yang memerlukan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penghulu Antara Kaum Tee Keleng sebelum diteruskan dengan pengisian bertemakan keharmonian oleh mantan ADN Kemuning merangkap Pengerusi PERKIM Machang Mohd Roseli Ismail.

Pautan berjaya disalin!