Accessibility Tools

Skip to main content

PKPNK pelihara 55 induk betina Charolais untuk pembiakbakaan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 20 Mei – Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) menternak 55 ekor induk betina baka Charolais untuk pembiakbakaan.

Usaha itu dilaksanakan bagi menghasilkan baka berkualiti tinggi yang mempunyai kadar pertumbuhan lebih cepat serta potensi pengeluaran daging lebih baik.

Sehubungan itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, langkah tersebut membuktikan komitmen PKPNK dalam memperkukuh industri penternakan negeri sekali gus meningkatkan bekalan daging tempatan serta menyokong agenda keterjaminan makanan rakyat Kelantan.

Dalam masa sama katanya, sebanyak 50 ekor lembu baka Kedah-Kelantan (KK) turut disediakan khusus sebagai bekalan daging tempatan bagi memenuhi permintaan sempena ibadah korban Aidiladha yang bakal menjelma dan tempahan telah mula dibuka.

“Ternakan lembu Charolais betina ini dipelihara untuk menghasilkan baka berkualiti tinggi yang mempunyai kadar pertumbuhan lebih cepat serta potensi pengeluaran daging lebih baik,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.

Tambahnya, lembu-lembu jantan yang sudah cukup umur telah ditempah dan ada yang sudah diambil oleh pelbagai pihak seperti pihak masjid dan orang perseorangan untuk dibuat korban.

Beliau berharap pusat penternakan ini boleh berkembang sebagai pusat membekal lembu hibrid dan sumber daging serta pusat pembiakan lembu hibrid di Kelantan.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Projek Penternakan Lembu Hibrid Charolais dan Lembu Kedah-Kelantan di Rong Chenok Agro Valley.

Lawatan itu bagi meninjau perkembangan projek penternakan lembu yang diusahakan PKPNK yang melibatkan dua komponen utama iaitu ternakan lembu hibrid Charolais dan lembu baka KK.

Pautan berjaya disalin!