Accessibility Tools

Skip to main content

Warga emas perlu terus dihargai, pastikan mereka tidak rasa tersisih – Dato’ Rohani

  • 11 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 26

TUMPAT, 10 Oktober – Warga emas perlu terus dihargai dan disantuni bagi memastikan mereka tidak berasa tersisih, sebaliknya dapat menjalani kehidupan yang bermakna bersama keluarga dan masyarakat.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, warga emas mempunyai pengalaman hidup yang luas dan boleh berkongsi pengetahuan untuk membimbing generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sukaneka Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Negeri Kelantan 2026 di PAWE Tumpat, Kampung Kajang Sebidang, di sini, hari ini.

Menurutnya, warga emas perlu terus mendapat perhatian dan layanan yang baik daripada keluarga, selain diberikan peluang untuk bergaul serta menyertai aktiviti bersesuaian dengan kemampuan mereka.

“Pengalaman yang dimiliki warga emas boleh dikongsi dengan generasi muda, justeru mereka perlu terus dihormati dan dihargai,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kesihatan pada usia emas serta peranan keluarga dalam memastikan warga emas berasa disayangi dan tidak kesunyian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan Mohamad Othman berkata, warga emas bukan sekadar golongan yang memerlukan bantuan dan penjagaan, malah mempunyai pengalaman, kemahiran serta pengetahuan yang boleh disumbangkan kepada keluarga dan masyarakat.

“Warga emas perlu diberikan ruang untuk terus aktif dan terlibat dalam kehidupan bermasyarakat, termasuk berkongsi pengalaman serta membimbing generasi muda” ujarnya.

Beliau berkata, warga emas juga boleh menyumbang melalui kemahiran yang dimiliki, termasuk membantu keluarga dan menyertai aktiviti ekonomi yang bersesuaian.

Menurutnya, masyarakat perlu memastikan warga emas terus mendapat perhatian serta merasakan diri mereka dihargai dan masih diperlukan.

Program berkenaan menghimpunkan sebanyak 350 warga emas daripada 16 PAWE seluruh Kelantan bagi menyertai aktiviti sukaneka dan mengeratkan hubungan sesama peserta.

Pautan berjaya disalin!