Sesi B2B Kedah Tourism ke Kelantan perkasa promosi pelancongan dua hala
-
11 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
28
KOTA BHARU, 10 Oktober – Sesi padanan perniagaan (B2B) antara penggiat industri pelancongan Kedah dan Kelantan dijangka mempergiat promosi pelancongan dua hala menerusi pembangunan pakej bersama, peluasan jaringan perniagaan serta pertukaran pelancong antara kedua-dua negeri.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, inisiatif itu membuka peluang kepada pengusaha pelancongan untuk meneroka pasaran baharu, memperkenalkan produk pelancongan masing-masing dan membangunkan kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada industri.
Menurutnya, Program Promosi Pelancongan Negeri Kedah dan Sesi B2B ke Kelantan dan Terengganu yang berlangsung pada 10 hingga 12 Oktober 2026 melibatkan penyertaan 30 penggiat industri pelancongan Kedah.
“Hubungan antara pengusaha pelancongan, agensi pelancongan, pengusaha penginapan dan penyedia aktiviti pelancongan perlu diperkukuh bagi menghasilkan pakej yang lebih komprehensif.
“Kita berharap pertemuan ini tidak terhenti setakat sesi perbincangan, sebaliknya diterjemahkan kepada kerjasama sebenar melalui pembangunan produk, promosi bersama dan pertukaran pelancong antara Kedah dengan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sanjungan Budi Delegasi Tourism Negeri Kedah ke Kelantan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor
Katanya lagi, sesi B2B yang dijadualkan berlangsung di Hotel Holiday Villa pada 11 Oktober merupakan platform strategik bagi mempertemukan pemain industri kedua-dua negeri untuk bertukar maklumat, membina jaringan perniagaan dan mengenal pasti peluang kerjasama yang saling menguntungkan.
Beliau optimis, pendekatan tersebut berpotensi menggalakkan pembangunan pakej pelancongan rentas negeri yang menggabungkan keunikan destinasi, warisan budaya, produk pelancongan dan pengalaman pelawat di Kedah serta Pantai Timur.
Menurut Datuk Kamarudin, kehadiran delegasi Kedah yang terdiri daripada 30 peserta itu diketuai Pengurus Kanan Promosi Kedah Tourism Roslan Osman itu turut memberi peluang kepada penggiat industri pelancongan Kelantan memperkenalkan keunikan budaya, warisan, keramahan masyarakat serta kepelbagaian produk pelancongan negeri kepada rakan industri dari Kedah.
"Pogram lawatan suai kenal (Familiarization Trip atau Famtrip) yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober membolehkan delegasi meninjau sendiri potensi produk dan destinasi pelancongan Kelantan untuk diketengahkan dalam pakej pelancongan bersama.
“Program ini dapat membuka ruang perkongsian maklumat dan berpotensi mewujudkan peluang perniagaan baharu, pembangunan pakej pelancongan bersama serta pertukaran pelancong antara negeri.
“Kita berharap hubungan yang terjalin melalui program ini akan terus diperkukuh dan menghasilkan manfaat berpanjangan kepada industri pelancongan Kedah, Kelantan dan juga Terengganu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia Wilayah Timur dan Tourism Kelantan atas penganjuran program berkenaan, khususnya komitmen Tourism Kelantan dalam menyelaraskan majlis makan malam serta pelaksanaan Famtrip.
Tambahnya, kerjasama antara agensi pelancongan dan pengusaha industri perlu diteruskan secara berstruktur supaya jaringan yang dibina dapat diterjemahkan kepada aktiviti promosi bersama dan peningkatan aliran pelancong domestik.
Beliau turut berharap hubungan profesional yang terjalin sepanjang program tiga hari itu menjadi asas kepada kerjasama berterusan dalam memperluas pasaran pelancongan antara Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Pertemuan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara pemain industri pelancongan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk memperkenalkan keistimewaan destinasi masing-masing,” katanya.












