Accessibility Tools

Skip to main content

Hari Sukan Negara Kelantan sasar lebih 327,000 penyertaan

  • 10 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 27

KOTA BHARU, 10 Oktober - Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat Negeri Kelantan menyasarkan penyertaan lebih 327,000 orang yang dianjurkan di seluruh negeri Kelantan bermula pada 9 hingga 11 Oktober yang  merangkumi pelbagai lapisan masyarakat bagi membudayakan sukan dan menggalakkan gaya hidup sihat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata sasaran itu meliputi warga emas berusia 60 tahun ke atas, veteran berusia 40 hingga 60 tahun, wanita, golongan belia berusia 13 hingga 30 tahun, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Katanya, sambutan HSN yang berlangsung secara fizikal di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah seluruh negara dari 9 hingga 11 Oktober ini berteraskan konsep Malaysia MADANI yang menekankan sikap saling menghormati serta meraikan perbezaan agama dan budaya.

Katanya, pelaksanaan program itu turut berpegang kepada prinsip 'No One Left Behind' atau tiada sesiapa yang ketinggalan dengan memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk menyertai aktiviti sukan dan rekreasi.

"Konsep pelaksanaan ini juga diselaraskan dengan perpaduan kaum, integrasi nasional, perbezaan bangsa dan penglibatan menyeluruh masyarakat, selain menekankan elemen sepuluh gaya hidup rakan muda khususnya rakan muda aktif dan dan gaya hidup sihat."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan HSN 2026 peringkat Negeri Kelantan di tapak parkir AEON Mall Kota Bharu, di sini, hari ini.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena sambutan itu, termasuk sukan tumpuan, sukan rekreasi darat, sukan OKU, sukan rakyat serta sukan tradisional bagi menarik penyertaan lebih meluas daripada masyarakat.

Menurutnya, penglibatan pengusaha, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dalam industri sukan melalui pameran, jualan produk serta perkhidmatan berkaitan sukan, selain perkongsian tip kesihatan dan kecergasan, turut menjadi antara pendekatan untuk menarik minat golongan muda.

Katanya lagi, sambutan HSN bertujuan meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti fizikal, malah membantu mengurangkan risiko penyakit berkaitan kesihatan serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Beliau menegaskan, usaha membudayakan sukan dalam kalangan rakyat juga penting bagi merealisasikan visi Sukan Negara 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Pejabat Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, terus memperkukuh pembangunan sukan secara lebih fokus dan inklusif.

Antara usaha yang dilaksanakan ialah pembangunan fasiliti dan prasarana sukan, termasuk pembinaan Kompleks Sukan Jeli dan Kompleks Sukan Bukit Merbau, selain Kelantan diberikan hak penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.

Tambahnya, penganjuran HSN juga diharap dapat merancakkan pembangunan ekonomi negara menerusi industri sukan, termasuk menggalakkan pembelian barangan sukan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, ketika ditemui media, Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean berkata, sambutan HSN peringkat Negeri Kelantan berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti sukan, termasuk acara larian yang disertai 2,000 peserta berdaftar.

Katanya, program berkenaan turut menyediakan jualan berorientasikan sukan, termasuk pakaian dan peralatan sukan, bagi menggalakkan orang ramai menjadikan aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

"Alhamdulillah, Hari Sukan Negara peringkat Negeri Kelantan dapat diadakan bersama enam negeri lain di Malaysia. Kita bertuah kerana keadaan di Kelantan tidak berjerebu, jadi program dapat dilaksanakan seperti yang ditetapkan.

"Anggaran penyertaan pada hari ini ialah 7,000 orang, manakala sasaran penyertaan keseluruhan bagi negeri Kelantan adalah lebih 327,000 orang," katanya.

Tambahnya, sambutan HSN  itu turut menjadi platform untuk mengiktiraf penglibatan rakyat dalam pembangunan dan penganjuran sukan, selain memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi aktiviti sukan.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamskhshari Mohamad, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia Amir Hamzah Awang Ghazali, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Mohd Saipudin Zakaria.

Pautan berjaya disalin!