Agenda bahasa dan sastera diangkat sebagai agenda negeri – Timbalan Exco Pendidikan
-
10 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
26
KOTA BHARU, 10 Oktober – Agenda pemerkasaan bahasa Melayu dan kesusasteraan berpotensi diangkat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan Negeri Kelantan, sekali gus memperluas peranannya melangkaui bidang kuasa portfolio tertentu dalam kerajaan negeri.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad berkata, perbincangan bersama pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur menghasilkan dua kertas kerja sudah dibawa ke Pejabat Menteri Besar Kelantan bagi meneliti cadangan tersebut supaya usaha memartabatkan bahasa dan sastera dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
“Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Menteri Besar Kelantan untuk melihat agenda bahasa dan sastera ini sebagai agenda negeri, bukan agenda di bawah exco tertentu.
“Di Kelantan, kelebihannya lebih 90 peratus penduduk ialah Melayu, jadi dari segi bahasa lebih mudah. Masyarakat Cina, India dan Siam di Kelantan pun bahasa Melayunya pekat molek. Jadi mudah untuk kita melaksanakan agenda pemerkasaan bahasa dan sastera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Cerpen Kembara Sastera (KS) 2026 dan Pelancaran Antologi Cerpen di sebuah hotel di sini, pada 3 Oktober.
Menurutnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang digunakan secara meluas merentas kaum di Kelantan merupakan kelebihan penting dalam membangunkan ekosistem kesusasteraan yang lebih kukuh.
Justeru, usaha memperkasa bahasa dan sastera perlu merangkumi pelbagai pendekatan termasuk pertandingan penulisan kreatif, penerbitan karya, program apresiasi sastera serta pembudayaan membaca dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan penghayatan keindahan dan nilai bahasa dalam komunikasi generasi muda, khususnya akibat kecenderungan menggunakan bahasa ringkas menerusi platform digital.
“Dalam abad ini, bahasa sudah hilang keterujaannya. Hari ini, kalau kita tengok WhatsApp anak-anak muda, sudah tidak ada bahasa. Sudah kembali kepada bahasa mesin seperti komputer yang menggunakan bahasa tanpa perasaan.
“Jadi generasi hari ini berbahasa dengan bahasa yang sudah hilang roh bahasa itu sendiri. Bagi saya program hari ini sangat penting kerana agenda memperkasakan bahasa. Sastera itu asasnya ialah bahasa,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kesusasteraan memainkan peranan penting dalam memelihara kehalusan bahasa, membina pemikiran serta memastikan warisan persuratan Melayu terus dihayati oleh generasi baharu.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penganjur Sayembara Cerpen KS 2026 atas inisiatif menyediakan wadah kepada penulis dari seluruh negara untuk menghasilkan karya kreatif berteraskan nilai Islam, pelancongan dan kearifan tempatan.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan pelancaran dua antologi terbitan Kembara Sastera, iaitu Dengung di Atas Awan yang menghimpunkan karya Sayembara Cerpen KS 2026 serta antologi fiksyen mini Buah Epal di Celah Puing terbitan Kembara Sastera.
Sayembara yang dibuka sejak April lalu menerima 34 penyertaan dari pelbagai negeri sebelum 17 karya dipilih ke pusingan kedua dan 13 cerpen terbaik mara ke peringkat penentuan akhir.
Cerpen Dengung di Atas Awan karya Faridah Paimin dinobatkan sebagai juara dengan hadiah wang tunai RM300 sekali gus dipilih sebagai judul antologi sayembara berkenaan.
Tempat kedua dimenangi Umi Solehah menerusi cerpen Secawan Kopi di Dapur Bara yang menerima RM250 manakala Zulkifli Haji Mat Top meraih tempat ketiga melalui cerpen Secangkir Kopi di Hujung Lorong dengan hadiah RM150.













