Kelantan sambut baik Belanjawan 2027
-
10 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
28
KOTA DARULNAIM, 10 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 oleh Kerajaan Persekutuan, khususnya peruntukan dan perancangan projek strategik yang dijangka memperkukuh pembangunan infrastruktur, meningkatkan kemudahan asas serta menjamin kesejahteraan rakyat negeri ini.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, antara inisiatif utama yang diberikan perhatian ialah perancangan Projek Empangan Lebir sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah banjir dan bekalan air bersih di Kelantan.
Menurutnya, perancangan tersebut akan melengkapi pelaksanaan fasa kedua Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok serta pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai dan Loji Rawatan Air di Machang yang kini berada pada peringkat reka bentuk.
"Usaha ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan giat kerja-kerja penggantian paip air usang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam sektor pengangkutan, beliau turut menyambut baik pengoperasian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu yang diumumkan bagi Disember ini, selain perancangan penyambungan landasan ke Rantau Panjang.
Katanya, pengumuman pembinaan sebuah stesen bas bersepadu dengan Stesen ECRL Kota Bharu juga bakal melengkapkan jaringan terminal pengangkutan awam sekali gus meningkatkan kesalinghubungan dan kemudahan mobiliti rakyat.
Beliau juga berharap Kerajaan Persekutuan turut memberikan perhatian terhadap cadangan penyambungan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Terengganu ke Kelantan bagi memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih seimbang antara wilayah.
"Walau bagaimanapun, demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah, Kelantan berharap agar cadangan penyambungan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Terengganu ke Kelantan turut diberikan perhatian," katanya.
Sementara itu, dalam sektor kesihatan, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk melengkapkan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian dengan teknologi pembedahan robotik.
Inisiatif berkenaan dilihat berpotensi memperkukuh keupayaan perkhidmatan perubatan kepakaran serta memperluas akses rakyat kepada teknologi rawatan moden.
Beliau turut menyambut baik pengumuman pembinaan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) bagi masyarakat Orang Asli di Kampung Angkek dan Pos Belatim sebagai usaha memperluas kemudahan pendidikan awal kepada komuniti pedalaman.
Mengulas keseluruhan Belanjawan 2027, Dato' Mohd Nassuruddin menzahirkan keyakinan bahawa perancangan pembangunan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan bersama-sama Belanjawan Negeri Kelantan 2027 yang dijadualkan dibentangkan pada 29 Oktober ini bakal membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau optimis, hubungan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan menjadi asas penting dalam memastikan pelaksanaan agenda pembangunan dapat diteruskan demi kepentingan bersama.
"Kerajaan Negeri Kelantan yakin bahawa dalam konteks federalisme Bajet Persekutuan 2027 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, khususnya yang berkaitan dengan Negeri Kelantan serta Bajet Negeri Kelantan 2027 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober nanti bakal membawa berita baik kepada rakyat Kelantan.
"Keyakinan ini turut disokong oleh hubungan baik antara kerajaan (G to G) yang terjalin antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia," jelasnya.










